Thursday 9 February 2012

Cuppyz istimewa tanpa bahan pengawet


Brownies coklat


Comel, cantik dan menyelerakan. Faktor itu menyebabkan 'kegilaan' orang ramai terhadap kek cawan seakan tidak ada penghujungnya malah semakin ramai pengikutnya.

Keadaan itu mendorong kemunculan ramai pengusaha kek cawan sama ada berskala kecil mahupun besar berlumba-lumba menampilkan kreativiti masing-masing dalam menghiasi kek cawan.

Antara pengusaha kek cawan terawal ialah New Sugar Creations yang baru-baru ini telah menjenamakan semula produknya dan kini dikenali sebagai Cuppyz.

Perniagaan yang diusahakan oleh Sharipah Rabiathul B. Sharbudeen, 36, bersama keluarga ternyata terus bertahan dan semakin mendapat sambutan.

Sahripah yang pernah bekerja di beberapa buah bank di ibu negara sanggup berhenti kerja bagi menumpukan perhatian kepada perniagaan yang diminatinya.

Dia mula menjinakkan diri dalam bidang pembuatan pelbagai jenis kek sejak kecil lagi.

Segala teknik pembuatan dan pemprosesan kek telah dipelajari daripada ibunya sendiri yang juga merupakan pengusaha kek.

Bercerita mengenai New Sugar Creations yang terletak di Ampang Park Kuala Lumpur, kata Sharipah Rabiathul, semua jenis produk yang dihasilkan menggunakan mentega asli bagi menjamin kualiti produk yang dihasilkan.

"Selain itu, kami tidak menggunakan bahan pengawet, tetapi menggunakan perasa buahan asli yang diperap bagi menyedapkan lagi rasa kek tersebut.

"Setiap hari kilang kami mengeluarkan sebanyak 3,000 biji kek cawan dengan pelbagai rasa dan corak menarik yang dijual pada harga serendah RM 3 sebiji.

"Corak dilukis sendiri atau berdasarkan tempahan yang dibuat pelanggan.

"Selain di bilik pameran di Ampang Park, produk kami juga terdapat di Great Eastern Mall dan Kuala Lumpur City Walk," katanya yang turut bertindak selaku pengurus New Sugar Creation.

Selain itu beliau berkata, bagi meluaskan lagi pasaran penjualan, syarikatnya sedang mencari pembekal di sekitar Lembah Klang dan Putrajaya.

Tambahnya, selain kek cawan, syarikatnya juga membekalkan pelbagai jenis kek untuk majlis perkahwinan dan sambutan hari jadi.

"Kami juga menawarkan kursus atau kelas membuat kek cawan dan pelbagai jenis kek, serta menerima tempahan kuih raya dan hamper,"katanya.

Sebarang maklumat lanjut atau tempahan boleh hubungi 03-21629400 atau layari www.sugarcreationsmy.com.Oleh SITI AISHAH YUSOFF

No comments:

Post a Comment