Thursday, 9 February 2012

Ucapan salam adalah doa

Oleh Mohd Fadly Samsudin
rencana@hmetro.com.my

ANTARA sunnah yang sering diamalkan Rasulullah ialah baginda tidak pernah melupakan untuk memuliakan sahabatnya dengan ucapan salam.

Salam yang diungkapkan sebagai Assalamu ‘alaikum waraohmatullahi wabarakatuh yang bermakna semoga Allah melimpahkan kesejahteraan, rahmat dan berkat kepadamu.

Salam sebenarnya mengandungi tiga doa penting kepada orang yang diberikan salam iaitu mendoakan kesejahteraannya, kebaikannya dan keberkatannya.

Bagi mewujudkan makna salam, Nabi Muhammad sentiasa menyebarkan kasih sayangnya kepada orang miskin, anak yatim dan sahabatnya.
Click Here


Ucapan salam mengandungi doa yang ditujukan kepada orang yang memberi salam. Sewaktu Nabi Muhammad bertemu dengan keluarga, sahabat atau tetamunya, baginda akan tersenyum ikhlas dengan mengukirkan senyuman dengan wajah yang ceria.


Senyum Nabi itu jelas berbeza dengan senyum yang menyakitkan seperti senyum sinis atau bernada mengejek. Dalam Islam, Allah menekankan kepentingan menyambung kasih sayang di antara umatnya.

Penceramah bebas, Ustaz Halim Din, berkata umat Islam digesa kembali mengamalkan sunnah Nabi dalam kehidupan seharian mereka.

“Salah satunya ialah amalan mengucapkan salam. Nabi Muhammad adalah individu yang berebut-rebut memberi salam kepada sahabatnya.

“Maka ucapkanlah salam dengan cara paling sempurna kepada sesiapa yang kita temui. Contohnya, ketua perlu memberi salam kepada kakitangan di bawahnya.

“Begitu juga, mereka yang menaiki kereta perlu memberi salam kepada orang yang menunggang motosikal. Manakala orang yang menunggang motosikal perlu memberi salam kepada orang yang berjalan kaki.

“Begitulah aturannya sebagai tanda memuliakan orang kerana orang yang memberi salam akan mendapat ganjaran 10 pahala berbanding yang menjawab salam hanya mendapat satu pahala dan dia juga wajib menjawab salam itu jika mendengarnya,” katanya ketika menyampaikan ceramah Maulidur Rasul di surau NSTP di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, tugas menyampaikan dakwah kini cukup mudah jika dibandingkan ketika zaman Rasulullah s.a.w dulu.

“Bayangkan ketika Nabi bersama Zaid Harithah melancarkan dakwah ke kota Taif belum lagi menyampaikan apa-apa baginda sudah dihalau keluar.

“Bukan itu saja, Baginda turut dibaling dengan batu oleh penduduk Thaif sehingga mengalir darah di tubuhnya. Kita sekarang tidak merasai kepahitan, kesusahan yang dialami seperti Baginda namun masih liat melakukan sunnahnya.

“Kita juga jauh lebih bertuah kerana kemudahan untuk melaksanakan ibadah cukup banyak dan mudah,” katanya.

Beliau berkata, umat Islam semakin jauh daripada sunnah yang ditinggalkan Baginda dan mereka ibarat seperti buih di lautan yang banyak memutih tetapi tiada kualiti.

“Sebab itu, kita dianjurkan untuk kembali mengamalkan sunnah Nabi dalam kehidupan kita seharian supaya kita akan lebih sayang, cinta dan kenal dengan Nabi,” katanya.

No comments:

Post a Comment