“SETIAP kali masuk waktu Maghrib, bau kemenyan sangat kuat memenuhi segenap ruang rumah. Kemudian bau itu hilang dalam masa beberapa minit sebaik saja waktu Maghrib tamat. Menjelang tengah malam pula kedengaran sekumpulan burung berlegar di sekitar rumah seperti dekat dengan bumbung rumah.
“Burung itu berkicau dan berdecit-decit dengan kuat diikuti bau kemenyan yang sama. Saya yang hanya tinggal bersama anak-anak sangat takut pada waktu itu. Cuma yang terlintas di fikiran hanya membaca surah Yassin diikuti beberapa ayat al-Quran lain. Peliknya sebaik saja bacaan tamat, bunyi burung bersama kemenyan hilang serta-merta. Kejadian itu berlaku hampir setiap malam.
“Saya cuba untuk tidak menaruh sebarang syak wasangka namun apabila sepupu yang bermalam di rumah turut mengalami kejadian sama, saya mula mengesyaki ada yang tidak kena, apatah lagi anak kecil saya sering menangis tidak mahu masuk ke rumah pada waktu tengah hari. Dia mengatakan takut dan nampak sesuatu di dalam rumah saya,” demikian luahan hati wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Mira (bukan nama sebenar), ketika menceritakan pengalamannya terkena sihir daripada wanita yang ingin memecah belah rumah tangganya semata-mata ingin mendapatkan suaminya.
Menurut Mira, dia juga mengalami beberapa kejadian pelik di rumah seperti mendengar bunyi orang berjalan, dengusan kuat serta bayang-bayang seperti ada orang lain di dalam rumah serta bau busuk seperti bangkai. Dia yang ketika itu masih bergelar isteri menceritakan kepada suaminya namun dibalas semua itu hanya igauan dan mimpi. Oleh kerana tidak berpuas hati dan hidup dalam ketakutan, Mira berjumpa seorang ustaz berpengalaman untuk mendapatkan rawatan.
Click Here
Selepas dirawat, ustaz itu mengatakan Mira disihir bertujuan memecahbelahkan rumah tangganya sehingga bercerai. Sihir itu jika tidak dirawat boleh menyebabkan dia dan keluarga diserang sakit.
Tambah ustaz itu lagi, kemungkinan sihir itu menggunakan gambar Mira yang diperoleh menerusi e-mel atau mungkin menggunakan pakaiannya. Ini kerana sihir ini menyebabkan wajah Mira menjadi tidak berseri dan seakan-akan hodoh di mata suami.
“Saya mula perasan sejak kejadian itu, saya langsung tiada keinginan bersolek dan bergaya seperti suatu ketika dulu. Malah keinginan suami untuk ‘bersama’ juga semakin berkurang sehingga saya terpaksa meminta. Suami pula jarang berada di rumah dan hanya pulang selepas jam 12 tengah malam.
“Saya sering bertanya kepadanya namun jawapannya banyak urusan di pejabat. Namun saya tahu dia memadu kasih bersama wanita lain berdasarkan beberapa alamat mimpi,” katanya yang masih bersabar dengan semua kerenah suami kerana masih sayangkannya.
Tambah Mira, dia mula me�ngesyaki suaminya menjalinkan hubungan dengan wanita lain berdasarkan beberapa petunjuk diberi Allah antaranya sering bermimpi perkara pelik serta membaca khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada telefon suaminya. Mira sangat terkejut apabila membaca SMS berbaur lucah dan penuh dengan kata-kata pujian serta pujukan daripada wanita itu. Pernah juga akibat terlupa membawa telefon bimbit, Mira dapat melihat gambar suaminya bersama wanita itu dalam keadaan yang sungguh memalukan.
“Memang luluh hati saya apabila suami yang sa�ngat saya sayang tiba-tiba berubah hati dan mempunyai wanita lain. Perkahwinan selama 15 tahun langsung tidak membawa apa-apa erti baginya kerana dia semakin mengabaikan rumah tangga dan anak-anak. Kasih sayang terhadap anak-anak seramai empat orang musnah sekelip mata,” katanya.
Memikirkan suaminya sudah terkena ‘ilmu guna-guna’, Mira berusaha mendapatkan rawatan tradisional daripada seorang ustaz. Selepas memberikan air yang dibacakan ayat al-Quran serta melakukan solat hajat, keesokannya suaminya mengalami muntah-muntah. Namun keadaan normal hanya berlaku selama sebulan dua saja, selepas itu suami Mira kembali menemui kekasih gelapnya untuk memadu kasih.
Menurut ustaz yang merawat suaminya, dia mengatakan ilmu sihir digunakan wanita itu sangat ‘kuat’. Keadaan ini hanya dapat dipulihkan sekiranya suaminya sendiri menyedari yang dia terkena ilmu hitam dan berusaha untuk mengubati dirinya sendiri. Malangnya walaupun sudah beratus kali perkara itu disampaikan, suami Mira tidak percaya dan menganggap Mira terlalu kuno kerana mempercayai perkara mistik.
Dalam keadaan tertekan kerana terpaksa berhadapan suami yang tidak waras, �ditambah pula masalah rumah tangga ibarat retak menanti belah, Mira tiada jalan lain selain berpisah. Untuk apa berumah tangga sekiranya suami menganggapnya seperti tunggul. Apa yang ada di matanya hanya kekasih gelapnya, siang malam hanya wanita itu dipujanya.
“Apabila pulang ke rumah kami sering bergaduh malah dia dengan berani menampar dan memukul saya, perkara yang tidak pernah dilakukan sebelum ini. Saya sangat kasihankan anak-anak kerana mereka masih kecil dan memahami penderitaan yang saya alami. Saya tidak mahu fikiran anak-anak diracuni untuk terus membenci ayah mereka. Walau apa sekali pun, suami saya tetap ayah mereka dan tidak dapat dipisahkan,” katanya.
Hampir enam tahun Mira bersabar semata-mata ingin mempertahankan rumah tangganya demi anak-anak namun keadaan menjadi bertambah rumit apabila dia mendapat tahu suami dan wanita itu sudah terlanjur.
“Sedih, marah dan tertekan, semua itu bermain dalam fikiran saya. Apa lagi yang mampu saya lakukan? Sampai bila saya harus menjeruk rasa sedangkan saya juga mahukan kehidupan sempurna dan bahagia bersama anak-anak?” ujar Mira sayu.
Oleh kerana tidak tahan menanggung tekanan emosi dan fizikal, akhirnya selepas berjumpa kaunselor, Mira tekad memohon cerai daripada suami. Pada mulanya suami Mira tidak mahu melepaskan Mira disebabkan ego dan berasa dia masih memerlukan Mira dan anak-anak.
Namun Mira membuat tuntutan di mahkamah dan selama setahun menunggu, akhirnya mereka bercerai secara sah.
“Selepas berpisah, kehidupan saya mulai tenang dan semua kejadian pelik seperti bunyi burung serta bau kemenyan hilang serta-merta. Anak-anak pula semakin ceria dan tidak lagi takut ketika berada di rumah. Saya pula semakin mendekatkan diri kepada Allah, memperbanyakkan solat hajat, tahajud dan taubat serta membaca al-Quran setiap hari. Inilah saja pendinding yang mampu menghalang syaitan dan jin daripada mengganggu saya,” katanya.
Walaupun Mira mengenali wanita yang sudah menghancurkan rumah tangganya, dia langsung tidak berdendam atau berniat untuk membalas dengan cara yang sama. Jika dia melakukannya bermakna dia tiada beza dengan wanita itu.
Apa yang dilakukannya adalah berdoa semoga wanita itu insaf dan terbuka hatinya untuk bertaubat dan memohon ampun kepada Allah. Biarlah apa yang dilakukan kepada Mira sekeluarga mendapat balasan setimpal daripada Allah. Jika tujuan wanita itu untuk mendapatkan suaminya, Mira reda jika hanya setakat ini saja jodoh yang sudah tertulis buatnya. Dia juga sudah hilang rasa sayang dan hormat pada lelaki itu.
Nasihat Mira, wanita yang merasakan diri mereka terkena ilmu sihir harus berusaha untuk berubat dengan ustaz yang mempunyai ilmu agama yang tinggi dan bukannya bomoh atau pawang yang tujuannya semata-mata mengaut keuntungan.
Selain itu, banyakkan amalan di rumah terutama membaca surah al-Baqarah kerana di situlah letaknya kunci segala kekuatan selain surah lain serta amalan solat sunat.
Jangan takut untuk bertindak apabila sudah mendapat semua petunjuk dan bukti sahih. Ini kerana amalan songsang ini jika dibiarkan dan tidak dirawat akan menyebabkan seseorang itu mengalami tekanan perasaan yang hebat. Berdasarkan pengalamannya, tekanan ini akan menyebabkan individu bertukar murung, pendiam, sering berada dalam ketakutan, tidak lalu makan dan mengabaikan diri sendiri dan anak-anak.
“Paling penting, jangan sesekali takut untuk bertemu mereka yang pakar untuk mendapatkan penjelasan. Jika tidak ibu bapa, mungkin kaunselor. Ini kerana hanya dengan berjumpa mereka kita akan berfikir lebih rasional dan membuat keputusan dengan waras. Jika segala usaha sudah dibuat untuk memulihkan keadaan dan tidak berubah, barulah menetapkan tekad sama ada mahu meneruskannya atau menghentikan perhubungan itu kepada satu titik noktah yang sah.
“Walaupun perceraian itu berat, mungkin ia akan menjadi lebih manis dan baik untuk masa depan. Jangan takut bertindak kerana ia membabitkan soal masa depan sendiri serta anak-anak selain reda dan bertawakal kepada Allah,” nasihat Mira mengakhiri perbualan.-Metro
No comments:
Post a Comment