Friday 24 February 2012

Lavender Ceramic ke pasaran global

HANYA bermula dengan perniagaan membuat seramik secara kecil-kecilan kini Lavender Ceramic Sdn. Bhd. boleh berbangga kerana produknya telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa.

Syarikat yang terletak di kawasan Perindustrian Siputeh, Batu Gajah, Perak antara tempat yang terkenal dengan keaslian produk seramik kerana kualiti tanah liat yang digunakan.

Produk seramik yang diusahakan secara warisan bukan sahaja dipasarkan di Malaysia malah juga dieksport ke negara luar.

Produk ini telah menembusi pasaran antarabangsa seperti United Kingdom, Dubai, Turki, Argentina, Columbia, Taiwan, Jepun dan Hong Kong.

Pemilik perniagaan ini, Wu Kochi, 60, bersama isterinya Janet Sin Keng Leng, 46, telah mewarisi perniagaan seramik itu sejak tahun 1960 lagi.

Perniagaanitu merupakan warisan turun-temurun dari Taiwan yang dipelajari oleh Wu Kochi sebelum berhijrah ke Malaysia dan berkahwin dengan Janet.

Walaupun ilmu pembuatan seramik adalah warisan dari Taiwan, tetapi rekaan dan corak seramik yang dihasilkan di Lavender Ceramic Sdn. Bhd. mengikut cita rasa masyarakat Malaysia.

Kochi berkata, nama Lavender digunakan untuk produk keluaran syarikatnya kerana warnanya yang cantik dan sesuai dengan identiti masyarakat Malaysia selain bunga itu banyak di tanam di Taiwan.

"Bagaimanapun, setiap corak pada produk seramik di syarikat kami mengekalkan idea dan identiti masyarakat Malaysia.

"Antara produk yang dihasilkan adalah set pinggan mangkuk, set minum petang , barangan perhiasan rumah dan cenderahati untuk majlis perkahwinan.

"Corak setiap produk dihasilkan sendiri oleh kami. Pelanggan juga boleh menempah corak yang mereka inginkan tetapi corak bunga lavender akan dikekalkan.

"Harga bagi setiap produk adalah serendah RM1 hingga RM400.

"Bagi mengekalkan kualiti produk, kami menggunakan bahan mentah utama iaitu tanah liat yang hanya didapati di kawasan Trong, Beruas dan Bidor di Perak," kata Kochi.

Sejak menyertai Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia pada tahun 2003 perniagaan milik pasangan suami isteri bertambah maju terutama dari peningkatan jumlah jualan produk.

"Kalau dahulu produk kami dijual kepada ejen menyebabkan tiada pilihan dari segi harga yang ditawarkan dan kuantiti produk yang dijual.

"Setiap tahun pihak Kraftangan akan hantar kami ke luar negara untuk mempelajari teknik pembuatan seramik.

"Kami juga dibawa mengikuti semua tempat pertunjukkan dan pesta di bawah Kraftangan Malaysia.

"Segala tempat serta kemudahan telah disediakan di sana, kami hanya perlu membawa barangan untuk dipamerkan sahaja," katanya.

Sementara itu, Kochi berasa bertuah kerana mempunyai tempat rujukan dan bantuan seperti pihak Kraftangan Malaysia jika menghadapi masalah.

"Perkara ini berbeza dengan pengusaha seramik di negara lain seperti Taiwan kerana mereka tidak mempunyai tempat rujukan seperti di sini.

"Pihak Kraftangan Malaysia ada membuat corak produk seramik untuk syarikat kami disamping memberikan idea dan maklumat kepada pengusaha," katanya.

Tambahnya, antara cabaran utama yang perlu dihadapi oleh pengusaha seramik adalah kerosakan mesin acauan, corak dan lakaran produk terbaru serta masalah pemasaran.

"Kraftangan telah membantu kami dari aspek ini," kata Kochi.

Untuk perancangan masa depan pihaknya akan membuka beberapa cawangan kedai menjual seramik seperti di Kuala Lumpur dan Kuantan kerana ketika ini kedai milik mereka hanya terdapat di Perak sahaja.


Oleh SITI AISHAH YUSOFF
Gambar WAHIDIN SALIM

No comments:

Post a Comment