Friday 24 February 2012

Cone Pizza


Kon yang telah siap dimasukkan bahan-bahannya dibakar selama dua minit.


SEKALI pandang kios yang terdapat di tingkat bawah pusat membeli belah One Utama, Bandar Utama, Damansara ini seperti menjual pelbagai jenis aiskrim.

Tetapi sebenarnya ia merupakan kios yang menjual pizza dalam bentuk yang cukup unik dan mudah dinikmati.

Memang agak pelik kerana pizza biasanya berbentuk leper dan perlu dipotong terlebih dahulu sebelum ia di makan. Tetapi kini ia boleh didapati dalam bentuk kon.

Itulah keunikan yang ditawarkan oleh ConePizza Cafe yang terletak di aras bawah One Utama itu.

Kios itu dimiliki oleh usahawan muda Azmirul Shah Zubir dengan sokongan bapanya Zubir Ismail.

Menurut Azmirul Shah, 22, dia tertarik dengan ConePizza apabila pertama kali mencubanya sewaktu berkunjung ke Johor Bahru.

"Tanggapan pertama saya ketika itu ialah ia cukup unik dan lain dari yang lain selain mempunyai potensi untuk berkembang.

"Apabila pulang ke Kuala Lumpur saya cari laman webnya dan terus kemukakan cadangan untuk menjadi salah seorang francaisi produk ini," katanya ketika ditemui di kios ConePizza Cafe miliknya itu baru-baru ini.

ConePizza katanya, bukan sahaja unik daripada segi cara ia dihidang. Rasanya juga unik di samping boleh dinikmati pada bila-bila masa.

Ia juga katanya, cukup berjus kerana bentuk kon itu membolehkan jusnya disimpan dan dinikmati oleh pengguna.

Berbanding pizza biasa katanya, ia agak kering kerana bentuk leper itu tidak boleh menyimpan jus.

Sebab itu katanya, ConePizza rangup di luar tetapi cukup berjus di dalam yang menjadikannya enak dan berperisa.

Bahan-bahan yang terdapat dalam ConePizza pula dimasukkan secara berlapis-lapis dengan tiga lapisan cheese.

"Sebab itu terdapat cheese dalam setiap kunyahan ConePizza," katanya.

Lagi satu ciri unik ConePizza ialah ia boleh dinikmati dalam apa juga keadaan. Sama ada ketika santai, sambil berjalan, sewaktu menonton wayang dan sebagainya.

Terdapat 15 perisa yang ditawarkan oleh ConePizza yang semuanya menggunakan empat sos utama iaitu tomato, barbeku, aioli dan sambal untuk memberikan cita rasa tempatan.

Pizza yang berperisa ayam aioli dikatakan yang paling diminati kerana kaya dengan sos berasaskan mayonis dengan ramuan terdiri daripada hirisan ayam, sosej dan nenas.

Apabila pelanggan memesan segala ramuan akan dimasukkan ke dalam kulit berbentuk kon dan dibakar selama dua setengah minit. Selepas itu ia sedia untuk dinikmati.

Ia menjadikan ConePizza sebagai pizza yang paling pantas untuk dinikmati. Tidak perlu tunggu lama.

Sementara itu pemilik francais ConePizza, Nicholas Teoh berkata, kios di One Utama itu merupakan yang kelima dibuka di Malaysia.

Empat lagi katanya, terdapat di Sunway Pyramid, KSL City dan Sutera Mall di Johor Bahru serta IOI Boulevard, Puchong.

"Konsep asal pizza ini adalah dari Itali. Tetapi kita rumus semula bagi menjadikannya jenama Malaysia yang tersendiri," katanya.

Kos untuk membuka francais ConePizza katanya, ialah RM125,000 untuk kios dengan keluasan 150 kaki persegi.

Angka itu katanya, termasuk kos untuk menyediakan kios bersama kemudahan yang diperlukan.

Mereka yang berminat untuk menjalan perniagaan francais ConePizza ini boleh menghubungi 012-6746236 atau layari conepizza.com.my.

No comments:

Post a Comment