SAYA ingin tahu mengenai kebaikan implan sebagai salah satu alat pencegahan kehamilan.
Untuk pengetahuan doktor, saya memang sukar mendisiplinkan diri untuk makan ubat mengikut waktu.
Berapakah kos diperlukan untuk menggunakan implan? Adakah sebarang kesan sampingan yang akan dihadapi kelak?
MIZA,
Sungai Petani, Kedah.
ANDA sepatutnya sudah berbincang dengan doktor anda mengenai kaedah yang berkesan dalam mencegah kehamilan.
Selain kaedah implan dan pil, terdapat juga kaedah lain seperti suntikan depo alat dalam rahim yang juga dikategorikan sebagai kaedah sangat berkesan.
Bagi mereka yang sukar mendisiplinkan diri, kaedah seperti implan, suntikan depo atau alat dalam rahim boleh diamalkan.
Setiap satu kaedah pencegah kehamilan mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri dan tidak semua mengalami kesan yang sama.
Sekiranya rakan anda sesuai dengan sesuatu kaedah, tidak semestinya anda juga serasi dengan kaedah terbabit.
Secara ringkasnya, kaedah implan sangat berkesan, menghampiri 100 peratus dalam mencegah kehamilan.
Ia juga dapat membantu dalam rawatan kekurangan darah (anemia) kerana ia lazimnya menyebabkan pendarahan haid menjadi sedikit saja atau tiada langsung.
Ada wanita yang menggemari kesan ini kerana ia memudahkan mereka untuk menjalani ibadah dan hubungan seks.
Namun, bagi sesetengah wanita, mereka mungkin tidak menyukai jika tidak didatangi haid kerana berasakan kurang ‘kewanitaan’, walaupun sebenarnya ia tidak perlu dibimbangkan termasuk kebimbangan kehamilan kerana ia sangat berkesan.
Secara perbandingan, kos mula sewaktu pemasangan implan adalah antara yang termahal (selain kaedah alat dalam rahim berhormon progestin).
Bagaimanapun, jika diambil kira tempoh tiga tahun penggunaannya, ia adalah kos efektif, malah setelah pemasangan, lazimnya tiada temu janji berulang diperlukan melainkan untuk pemeriksaan kesihatan am.-Metro
No comments:
Post a Comment