KAMI sudah dua tahun berkahwin dan belum dikurniakan zuriat. Masalah isteri saya adalah dia tidak didatangi haid.
Untuk pengetahuan doktor, sudah banyak kali dia berjumpa dengan doktor manakala ujian imbasan menunjukkan semuanya normal.
Kebanyakan doktor hanya memberikan ubat untuk mengeluarkan haid dan ubat subur tetapi tidak juga berhasil.
Pada Mac 2011, isteri saya disahkan menghidap penyakit tiroid dan sekarang doktor mengesahkan isteri saya tidak lagi menghidapi masalah.
Click Here
Isteri saya mempunyai ketinggian 156 sentimeter dan beratnya 52 kilogram.
Dia mempunyai bulu kaki yang agak banyak dan sedikit di bahagian atas bibir.
Apakah yang perlu kami lakukan?
Pada masa sama, saya juga ingin tahu anggaran kos rawatan kesuburan.
SUAMI BIMBANG,
Kuala Lumpur.
ANDA mungkin ingin membawa isteri berjumpa pakar kesuburan pula.
Jarang bagi wanita yang tidak didatangi haid menunjukkan imbasan ultrabunyi yang normal.
Masalah boleh berpunca daripada kedua-dua ovarinya yang tidak menghasilkan ovulasi secara teratur atau mungkin tiada langsung kebelakangan ini.
Selain itu, ketebalan dan ciri (echogenicity) pada lapisan endometrium dalam rahimnya dapat dilihat.
Jika rahim tidak mengalami rangsangan hormon kesuburan untuk tempoh yang lama, saiznya juga boleh menjadi lebih kecil.
Berlebihan hormon kelelakian (androgenism) dan ketiadaan ovulasi (lazimya dengan ketiadaan haid) adalah dua daripada tiga petanda sindrom ovari polisistik (singkatan PCOS), hanya setelah masalah atau penyakit lain yang menyebabkannya diketepikan.
Dengan berat badan sedemikian atau lebih kurus lagi, jika isteri mengalami PCOS, rawatan kesuburan perlu dipantau lebih rapat kerana dia lebih berisiko untuk mengalami komplikasi contohnya sindrom OHSS.
Sekiranya gangguan ketiadaan haid isteri disebabkan oleh masalah tiroid (lazimnya ini berlaku jika hormon tiroid berlebihan - hiper tiroidism), ia dijangka sudah pulih memandangkan paras hormon tiroid isteri sudah kembali normal.
Kos rawatan kesuburan berbeza mengikut tempat dan pesakit.
Tidak semua pesakit perlu menjalani kesemua ujian kesuburan kerana setiap satu membabitkan kos.
Selain itu, tidak semua perlu memilih sesuatu kaedah ujian atau rawatan berbanding pilihan lain kerana ia juga membabitkan kos yang berbeza.
Doktor lazimnya memberikan beberapa pilihan yang ada, mengikut pengalaman atau kepakarannya serta perkhidmatan yang ada ditawarkan di situ.
Setelah anda faham mengenai kos dan peluang kejayaan sesuatu pilihan, buatlah keputusan yang sesuai.
No comments:
Post a Comment