Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN
nisa.sulaiman@utusan.com.my
Foto ZAKARIA IDRIS
ADAKAH anda sering mengalami bersin, selesema, mata gatal dan hidung tersumbat secara berterusan melebihi tempoh sebulan?
Jika keadaan begini berterusan, anda dinasihatkan berjumpa doktor bagi memastikan sama ada anda mengalami alahan hidung atau resdung.
Pakar Runding Telinga, Hidung dan Tekak, Kepala dan Pembedahan Leher, Pusat Perubatan Kelana Jaya, Petaling Jaya, Dr. Samril Bokari berkata, tanda-tanda alahan hidung berkenaan yang tidak dirawat akan membawa kepada sinusitis atau resdung.
“Biasanya tanda awal alahan hidung adalah selesema, bersin, hidung tersumbat serta muka dan mata yang gatal dan berair.
“Dalam keadaan begini tidak ramai yang mendapatkan nasihat dan rawatan doktor dengan alasan penyakit yang dihidapi tidak teruk,” katanya.
Sememangnya resdung tidak membawa kepada kematian tetapi memberikan kesan kepada gaya hidup dan keyakinan diri pesakit.
Alahan hidung berlaku apabila selaput hidup membran mukus, telinga tengah dan tekak membengkak kerana menghidu debunga, hama dan habuk serta perubahan cuaca.
Apabila itu berlaku, hidung akan bertindakbalas dengan benda asing menyebabkan simptom seperti selesema, bersin, gatal mata dan hidung berterusan.
Dr. Samril berkata, jika alahan hidung dibiarkan berterusan, ia akan menyebabkan komplikasi seperti rongga sinus tersumbat (terdapat lapan rongga sinus).
Rongga sinus yang bertindak untuk pengudaraan terhalang dan menyebabkan bakteria terperangkap, sinusitus dan nanah terkumpul.
Pesakit juga terdedah kepada jangkitan telinga tengah atau kegagalan Tiub Euschasian.
“Ketika itu pesakit akan merasa tidak selesa di muka, bendalir hijau meleleh dari hidung dan jika tidak dirawat akan menyebabkan jangkitan kuman di otak,” katanya.
Terdapat juga pesakit yang menghidap asma akibat alahan hidung yang berterusan kerana hidung dan paru-paru bersambung.
Rawatan awal boleh dilakukan menggunakan ubat bagi mengurangkan selesema dan semburan hidung yang berterusan sehingga sembuh.
Menurut Dr. Samril, sinusitis boleh berlaku kepada sesiapa saja, bagaimanapun risiko lebih besar jika ahli keluarga terdekat menghidapinya.
Alahan hidung biasanya berlaku pada usia muda antara 8 hingga 11 tahun sementara 80 peratus menghidapinya semasa berusia 20 tahun.
Ketika usia muda, alahan hidung lebih biasa berlaku pada kanak-kanak lelaki berbanding perempuan tetapi bila dewasa peratusannya lebih kurang sama.
“Sejarah pesakit amat penting dalam menilai alahan hidung.
“Elemen penting termasuk menilai persekitaran, tempoh simptom, tindak balas perubatan, sejarah keluarga dalam alergi dan pekerjaan,” katanya.
Sejarah berkenaan boleh membantu mengenal pasti punca dan penawar kepada alahan berkenaan.
Simptom berkaitan dengan bersin, gatal hidung, mata dan telinga, hidung berair, sakit kepala, mata merah dan letih.
Pastikan simptom berkaitan dengan alahan sama ada debunga, kulat, haiwan tertentu, habuk atau hama.
Biasanya struktur hidung akan bengkak dan jika penyakit parah maka ruang sinus akan mengandungi nanah.
“Pesakit akan diberikan antibiotik selama 10 hari hingga dua minggu.
“Biasanya pesakit yang mengambil ubat secara berterusan akan dapat mengawal alahan,” katanya.
Bagaimanapun jika resdung tadi bertambah parah, jalan terakhir adalah melalui pembedahan.
No comments:
Post a Comment