Thursday, 9 February 2012

Fahami hati ibu bapa

MENJAGA dan berbakti kepada ibu bapa bukan sekadar tanggungjawab yang ‘terpaksa’ disandang ke bahu. Perkataan ‘terpaksa’ membuatkan rela dan reda bagaikan tidak ada. Lihatlah daripada sudut yang dijanjikan Allah pahala yang amat besar. Sudut yang kita terlepas pandang semata-mata kerana mahu melepaskan diri daripada kewajipan.

Kita cipta alasan dan pelbagai hukum bagi ‘menyelamatkan’ diri sendiri. Kita cuba sedaya upaya meletak tanggungjawab ke bahu orang lain dengan pegangan, “Ah, anak dia bukan aku seorang saja!”

Apabila ramai yang bertanya dan cuba mengingatkan mengenai dosa sekiranya mengabaikan orang tua, selalu sangat kita dibalas dengan kiasan, ‘berat mata memandang, berat lagi bahu memikul’. ‘Cakap senanglah! Cuba kau sendiri yang jaga!

Ya, bahasa yang kasar selalu�nya terluah daripada mulut anak-anak yang tidak sabar dengan dugaan dan cabaran memelihara orang tua. Ia tempelak yang wajar dikikis dari hati kita.
Click Here


Kini, ramai anak-anak yang mengaku tidak sanggup menjaga ibu bapa kerana tanggungjawabnya sangat besar, begitu juga dengan cabarannya. Tidakkah mereka risau, perkara sama juga akan disebut oleh anak-anak mereka juga kelak?


Seorang teman pernah me�ngingatkan, setiap kali kita hendak berkata sesuatu mengenai ibu bapa kita, cuba bayangkan anak-anak sendiri mengucapkan perkara yang sama. Sekiranya itu jadi pegangan, nescaya kita tidak tergamak memperlekehkan orang tua kita.

Dunia ini umpama roda. Dahulu kita lari daripada tanggung�jawab menjaga ibu bapa, 10 atau 15 tahun lagi, anak-anak kita pula memberi 1,001 alasan tidak menjaga hati kita.

Menyedihkan, ibu bapa yang mempunyai anak ramai yang menjadi kebanggaan mereka tetapi kesemuanya saling bertolak-tolak menjaga ibu bapa. Si bongsu meletakkan tanggungjawab kepada abang sulung kerana katanya tanggungjawab abang sulung menjaga ibu bapa.

Anak sulung pula menyuruh adik perempuannya dengan alasan, adat di kampung mereka memang begitu. Anak perempuan pula menyuruh anak kedua kerana anak itu mendapat harta paling banyak dalam adik-beradik mereka. Anak keempat pula mahu berkongsi sama rata, RM5 pun mahu dikongsi lima orang sekiranya membelanjakan sesuatu untuk ibu bapa.

Ini bukan drama tetapi sering terjadi. Walhal, sepatutnya setiap anak saling berebut-rebut mencari peluang mengumpul pahala demi ibu bapa.

Pegawai Psikologi, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Melaka, Ruziyatun Ab Kadir, berkata sekiranya dulu ibu bapa berusaha memahami dan menjaga anak-anak, apa salahnya pula kita melakukan perkara yang sama.

Memang susah memahami hati orang tetapi sudahkah kita mencuba?

“Selalunya warga emas yang datang bertemu saya dengan masalah yang biasa dilalui warga emas lain iaitu kesunyian, perhubungan dengan anak-anak dan kewangan. Mereka tidak dipeduli anak-anak, pendek kata tiada perhatian. Ada yang mempunyai anak-anak ramai tetapi langsung tidak pedulikan orang tua mereka,” katanya.

Bagi pihak Ruziyatun, memang hanya mendengar sebelah pihak dan pendekatan yang diambil selalunya lebih kepada memujuk.

“Macam musim raya lalu, ada anak yang tak balik dan selalu�nya alasan yang diberi ialah sibuk. Memang menyedihkan,” kata Ruziyatun.

Katanya, kebanyakan warga emas yang berjumpanya tidak mahu anak mereka dibabitkan dalam sesi kaunseling.

“Mereka berjumpa kami selalunya sekadar mahu meluahkan perasaan. Apabila kami beritahu mahu mengajak anak mereka sekali pada sesi kaunseling, selalunya mereka tidak mahu. Mereka tidak mahu dianggap dan dituduh mengadu pada orang lain mengenai anak sendiri. Ia sekadar sesi perkongsian dan luahkan perasaan,” katanya.

Setelah meluahkan perasaan, berkongsi dengan orang yang dipercayai, warga emas akan rasa lebih lega.

“Kini di Pusat Jagaan Harian Warga Emas, Lesung Batu, ada diwujudkan kaunseling secara kelompok. Kaunseling sebegini bermula April tahun ini dan diwujudkan atas permintaan pusat jagaan. Kaunseling secara kelompok banyak kelebihannya,” katanya.

Menurutnya, buat masa ini ada dua kumpulan, setiap kumpulan seramai lapan orang. Namun, bagi yang tidak selesa bertemu secara kelompok, mereka boleh datang berjumpa Ruziyatun secara bersendirian.

Kata Ruziyatun, di pusat penjagaan harian, ketika menghadiri aktiviti dijalankan, warga emas biasanya nampak gembira tetapi sebenarnya masih ada yang terbuku di hati.

“Apabila sesi luahan hati secara kelompok diadakan, luahan perasaan pun terjadi. Mereka bercerita masalah mereka kerana mahu berkongsi. Setelah dikongsi, sesama mereka menjadi pendorong dan berkongsi pengalaman masing-masing serta saling memujuk,” jelas Ruziyatun.

Dalam sesi kaunseling kelompok dia bertindak sebagai fasilitator. Sekiranya orang muda sukar dinasihati, menurut Ruziyatun, warga emas sebaliknya pula.

“Dalam usia sebegini, warga emas lebih menerima nasihat dan saranan. Selain daripada kaunseling kepada warga emas di pusat jagaan harian, saya juga memberi khidmat kaunseling kepada kes yang dirujuk oleh pihak JKM,” katanya.

Apabila warga emas menjeruk hati, apakah yang harus mereka lakukan?

“Kadang-kadang kita susah meluahkan perasaan dengan kata-kata. Kalau bercakap, asyik hendak marah saja, walhal tak marah pun. Sebenarnya hati sedih dan berharap anak mereka balik. Jadi di zaman teknologi moden sekarang, kami nasihatkan warga emas supaya menghantar pesanan ringkas (SMS) kepada anak mereka.

“Kalau tak pandai, kami ajar cara menulis SMS. Apabila sudah tahu menghantar SMS, mereka boleh luahkan hati dengan perkataan. Perkataan biasanya lebih menyentuh hati anak-anak dan kesannya lebih mendalam. Itulah yang kami harapkan,” katanya.

Bukan hanya luahan hati, warga emas pun kadangkala susah meluahkan rasa sayang.
Maklum budaya luahan kasih sayang bukan perkara yang biasa bagi orang Melayu.

“SMS boleh melakukan itu semua. Luahan kasih sayang, luahan rasa malah rayuan pun boleh dibuat. Nampaknya, daripada apa yang saya dapat tahu, ada perubahan positif. Mereka beritahu harapan dan kerinduan mereka terhadap anak, juga harapkan mereka pulang,” katanya.

Memang sering terjadi warga emas yang saling merajuk dengan anak-anak. Dia merajuk, si anak pun merajuk.

“Kami pujuk mereka supaya beralah. Jangan kisah siapa yang beralah atau ‘aku ibu, anaklah yang beralah dulu! Dialah yang sepatutnya telefon!’ Kalau begitu sampai sudah pun tak selesai. Kadang-kadang ada sesuatu yang terjadi yang kita tidak perasan jadi hati masing-masing membungkam. Sekiranya dia mengadu anaknya lama tak telefon, kami suruh dia yang telefon anak. Mungkin ini boleh menyelesaikan rajuk yang bersarang di hati mana-mana pihak.”

Betul kata Ruziyatun, orang yang lebih tua selalu merasakan mereka boleh melakukan apa saja biarpun melukakan hati orang yang lebih muda. Tetapi keadaan itu akan membuatkan ramai yang memendam hati dan lama kelamaan menjadi dendam.

Atas kesedaran, hulurkan kemaafan tanpa mengira usia. Pujuk memujuk juga biasanya membawa bahagia, tidak kisah siapa dahulu yang beralah.

Menghantar ibu bapa ke pusat jagaan harian yang sentiasa ada aktiviti harian adalah salah satu cara mengisi kesunyian. Bagi mereka yang mampu, sekiranya ibu bapa tidak larat hendak keluar rumah, boleh memanggil ustaz atau pun ustazah mengajar pelajaran agama atau pun mengaji al-Quran di rumah.

Tidak kira tinggal bersama atau tidak, tegas Ruziyatun, jangan sesekali mengabaikan orang tua kita. Telefon dan ziarah jadikan rutin yang tidak boleh ditangguh.

“Dahulu ketika kita kecil, walaupun ibu bapa kita bekerja, dia pastikan kita terjaga, diberi kasih sayang, makan pakai dan perhatian sehingga kita dewasa, bekerja dan berkeluarga. Kini, giliran ibu bapa kita pula mendapat perhatian dan kasih sayang kita,” katanya.

Ada yang mengharapkan pembantu rumah menjaga orang tua 100 peratus. Bagi Ruziyatun ini sesuatu yang tidak wajar.

“Tidak dinafikan, untuk menjaga orang tua bukan mudah. Ada yang terpaksa mendapatkan bantuan pembantu rumah. Tetapi bukanlah pembantu rumah itu melakukan segala-galanya. Perhatian, kasih sayang, komunikasi dengan ibu bapa masih perlu dilakukan sendiri. Kesibukan kerja bukan alasan,” kata Ruziyatun.

Selalu juga kita mendengar, ibu bapa yang tidak mahu dipelihara anak-anak mereka.

“Memang kebiasaannya, ibu bapa tidak mahu tinggal dengan anak kerana tidak selesa di rumah lain selain daripada rumah mereka sendiri. Ada yang tidak begitu sihat dan bertongkat pun beri alasan sama.

“Bagi ibu atau bapa yang tinggal sendirian, anak-anak kena usahakan agar mereka tidak tinggal sendirian dan ada peneman. Sama ada menggaji pembantu rumah atau pembantu harian yang boleh menjenguk dan memastikan segala-galanya elok. Bukan hanya kerana sunyi tetapi juga keselamatan.

“Ibu atau bapa mungkin kata tidak mengapa tetapi jangan biarkan mereka sendirian. Ja�ngan sampai hati buat begitu. Kita harus sentiasa risau apa yang akan terjadi kepada mereka,” katanya.

Dahulu, ibu bapa kita yang terpaksa meninggalkan kita di rumah kerana perlu bekerja sentiasa tidak tenang memikirkan kita di rumah. Begitulah kerana kasih sayang yang mendalam terhadap anak-anak. Sekarang, sepatutnya kita berperasaan begitu juga kepada orang tua kita.

Lupakan sengketa dan sekiranya ada, buang ia sejauh mungkin. Bagi mereka yang masih merajuk hati dengan ibu bapa, tidak perlu berlama-lama, pohonlah kemaafan dan jalinkan kembali kasih sayang serta perhatian kepada ibu bapa kita. Lakukan segera sebelum terlambat.-Kusyi Hirdan

No comments:

Post a Comment