DINAIK TARAF...Sungai Gombak (kiri) dan Sungai Klang di sekitar Masjid Jamek lokasi pertama projek Sungai Nadi Kehidupan.
KUALA LUMPUR: Kawasan pesisiran Sungai Klang dan Sungai Gombak khususnya sekitar Masjid Jamek, di sini, yang menjadi ‘port’ lepak bagi warga asing bakal muncul sebagai lokasi pelancongan bertaraf dunia menerusi pelaksanaan projek Sungai Nadi Kehidupan tidak lama lagi.
Projek yang dicetuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu bukan saja bakal merubah persekitaran serta wajah ibu kota, malah meletakkan Kuala Lumpur setanding bandar raya terunggul lain seperti London, Paris, Melbourne dan Amsterdam yang terkenal dengan jalan airnya yang ikonik di mata dunia.
Tinjauan Metroplus di kawasan terbabit dan sekitarnya mendapati ketika ini pesisiran sungai berkenaan dimonopoli warga asing yang berpeleseran, menjadikan suasana di situ kurang selesa untuk orang ramai lebih-lebih lagi pelancong.
Suasana itu menyebabkan pelancong lebih tertumpu ke kawasan lebih selamat dan selesa seperti Bangunan Sultan Abdul Samad dan Dataran Merdeka.
Bagi penduduk, Roslan Sanip, 52, projek itu tidak hanya memberi kebaikan kepada masa depan ibu kota, malah mampu mendedahkan masyarakat mengenai sejarah bandar raya ini yang kurang diketahui umum.
“Daripada pengalaman saya, ramai anak muda kurang faham mengenai asal-usul Kuala Lumpur dan projek ini diharap menarik mereka untuk datang ke sini, sekali gus menimba ilmu sejarah kawasan ini.
“Diharap apabila projek ini siap, ia menjadi ikon pelancongan baru untuk Malaysia, sekali gus menjana ekonomi masyarakat menerusi perniagaan yang dijalankan di sekitarnya,” katanya ketika ditemui.
Pelancong dari Sweden, Mathhew Fox, 29, mengakui kawasan itu tidak begitu menarik untuk dikunjungi memandangkan ia sungai biasa dengan dipenuhi orang ramai yang melepak.
Justeru, dia percaya kejayaan projek ini akan menarik lebih ramai pelancong bagi melihat jalan air yang kini terdapat di negara maju terutama Amsterdam.
“Saya tidak sabar menanti projek ini siap dan akan berkunjung lagi ke sini (Malaysia) untuk menyaksikan keindahan sungai ini berbanding apa yang saya lihat sekarang,” katanya.
Sementara itu, jurucakap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), berkata projek pengindahan Sungai Klang di Fasa 1 atau Presint 7 di kawasan Masjid Jamek akan menjadi lokasi pertama untuk dibangunkan di bawah projek itu membabitkan tiga komponen utama dalam projek itu ialah pembersihan, pengindahan dan pembangunan koridor sungai.
Katanya, pengkhususan projek itu akan menjadikan sungai berkenaan sebagai ikon kawasan tepian air (waterfront) negara membabitkan jarak sungai sepanjang 10.7 kilometer dalam kerangka projek Greater Kuala Kumpur dan Lembah Klang.
Baru-baru ini, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail menjelaskan projek itu secara keseluruhannya menelan belanja RM1 bilion dengan jumlah terbabit dikhususkan bagi mencantikkan sungai selain RM3 bilion untuk kerja pembersihan sungai.
Menurutnya, antara pelan yang bakal dilaksanakan termasuk menambah baik laluan pejalan kaki, membersihkan sungai, menanam lebih banyak pokok selain memasang kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar bandar raya selain memperkenalkan laluan air untuk warga kota.
Bagi merealisasikan hasrat itu, DBKL melantik Aecom Perunding Sdn Bhd bagi menguruskan pelan utama projek selain menjalankan kerja pengindahan koridor sungai seperti yang dinyatakan.
No comments:
Post a Comment