DI awal kemunculan pendakap gigi (braces), individu yang memakainya cenderung berasa rendah diri dan dilemparkan dengan pelbagai gelaran seperti 'bergigi besi', 'gigi buruk' dan sebagainya.
Namun keadaan sudah berubah apabila pemakaian pendakap gigi kini menjadi trend anak muda kerana pilihan getahnya yang berwarna-warni.
Seiring dengan perkembangan teknologi dalam bidang ortodontik juga, pendakap kini tidak lagi tertumpu kepada jenis besi (metal braces) sahaja. Sebaliknya terdapat yang diperbuat daripada seramik yang hampir tidak kelihatan jika dipakai kerana warna yang hampir sama dengan gigi.
Lebih hebat lagi dengan penciptaan invisalign braces yang langsung tidak kelihatan ketika memakainya kerana diperbuat daripada bahan lutsinar.
Kerana inovasi terkini jugalah, persepsi terhadap pemakaian pendakap gigi berubah 360 darjah kerana ada yang beranggapan ia bukan sahaja atas faktor kesihatan iaitu membetulkan semula kedudukan gigi yang tidak tersusun, bahkan dapat menambah kemanisan senyuman.
Pentadbir Komuniti Braces Malaysia (KBM), Adilah Hamzah berkata, persepsi terhadap pemakaian pendakap gigi adalah mengikut individu.
"Saya sendiri memakai pendakap gigi untuk meningkatkan keyakinan pada diri kerana pekerjaan dalam bidang yang bakal saya ceburi nanti memerlukan saya berhadapan dengan ramai orang.
"Saya juga bersetuju jika dikatakan pemakaian pendakap gigi pada hari ini lebih kepada trend kerana saya dapati sebilangan yang memakainya sudahpun memiliki sebaris gigi yang cantik. Mereka masih mahu memakai pendakap gigi untuk tampil lebih menarik.
"Sebaliknya bagi yang tidak memiliki sebaris gigi yang cantik pastinya mereka merasakan bahawa memakai pendakap adalah satu keperluan untuk memberikan keyakinan," jelas Adilah yang merupakan pelajar tahun empat Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai Negeri Sembilan.
Menceritakan tentang penubuhan KBM, Adilah berkata pada asalnya, dia menulis pengalaman menerusi blog peribadinya iaitu http://komunitibraces.blosgpot.com.
Dalam blog tersebut, Adilah berkongsi pengalaman dia memakai pendakap gigi dari awal hingga akhir.
Pada masa sama dia menghimpunkan pemilik-pemilik blog yang memakai pendakap gigi untuk berkongsi pengalaman mereka.
Namun disebabkan kekangan masa untuk mengemas kini cerita terbaru, Adilah akhirnya menubuhkan fanpage KBM untuk memudahkan mereka yang memakai pendakap gigi berkongsi pengalaman mereka.
"Setakat ini komuniti ini telah mencecah 780 ahli. Kami biasanya membincangkan tentang pengalaman masing-masing selain memberi pendapat klinik-klinik terbaik yang menyediakan rawatan ortodontik.
"Selain itu, mereka turut membuat tinjauan harga di setiap klinik berdekatan untuk rawatan tersebut. Maklumat-maklumat ini amat berguna pada ahli-ahli yang baru bercadang memakai pendakap gigi.
"Bagi yang sedang memakainya, mereka berkongsikan perkembangan mengenai kedudukan gigi yang semakin hari semakin tersusun mengikut acuan yang sepatutnya," jelas wanita berusia 23 tahun ini lagi.
Menurut Adilah, walaupun pemakaian pendakap gigi kini bukan lagi sesuatu yang janggal, masih ada individu yang masih ragu-ragu mencubanya.
Justeru KBM juga diwujudkan agar dapat memberikan panduan dan semangat bagi mereka yang ingin dan baru memakainya.
Di samping itu mereka juga dapat berkongsi tip dan dan panduan penjagaan pendakap gigi.
"Berkenaan klinik gigi pula, pada hemat saya setiap klinik pasti ada kelebihan mereka sendiri.
"Tiada kriteria tertentu kerana setiap klinik yang menyediakan pemakaian pendakap gigi pastinya memiliki doktor pakarnya sendiri.
"Mereka merupakan individu yang terlatih untuk memberikan rawatan ortodontik ini.
"Pada pendapat peribadi saya, sama ada klinik gigi kerajaan mahu pun swasta masing-masing ada keistimewaan tersendiri.
"Jika di klinik kerajaan, pemakaian pendakap gigi adalah percuma untuk pelajar sekolah sehingga umur 17 tahun.
"Ada juga klinik kerajaan yang menyediakan rawatan ini jika melebihi usia 17 tahun tetapi bayaran dikenakan dan harganya lebih rendah berbanding swasta.
"Bagaimanapun, berdasarkan pengalaman saya, giliran menunggu untuk pemakaian pendakap gigi di klinik kerajaan memakan masa sehingga dua tahun.
"Jika dibandingkan dengan klinik swasta, pemakaian pendakap gigi memerlukan masa sesingkat dua minggu sahaja.
"Disebabkan itulah harga yang ditawarkan untuk pemakaian pendakap gigi di klinik swasta adalah lebih tinggi bermula daripada RM3,000 - RM6,000 mengikut ketetapan klinik itu sendiri," jelas wanita ceria ini," katanya.
Tempoh Adilah memakai memakai pendakap gigi berakhir pada 13 Februari lalu, seterusnya memakai retainer untuk tempoh enam bulan.
Menurut Adilah, sebelum memakai pendakap gigi kedudukan giginya agak tidak tersusun kerana ruang gusi tidak cukup untuk menampung gigi yang semakin banyak.
"Doktor mencabut empat batang gigi (dua atas dan dua bawah) untuk memberikan ruang agar gigi boleh bergerak dengan baik.
"Pada minggu yang pertama, rasa sengal-sengal pada gigi memang tidak boleh dielakkan kerana gigi dipaksa untuk bergerak membentuk kedudukan yang baru dari akarnya.
"Tetapi selepas beberapa minggu, sengal pada gigi semakin berkurangan kerana gigi sudah semakin biasa dengan kedudukan baru. Setiap bulan akan diadakan temujanji untuk mengetatkan wire," ujarnya berkongsi pengalaman.