Wednesday 21 March 2012

Tips tanam kundur


Selain digunakan untuk membuat minuman kundur juga dimanfaatkan bagi tujuan perubatan.


KUNDUR daripada keluarga Cucurbitaceae yang turut dikenali sebagai beligu, tung kua, petha atau dalam bahasa Inggeris di gelar winter melon, wax gourd atau ash gourd.

Pada masa kini banyak diusahakan di Asia Selatan dan Asia Barat.

Sehingga kini, asal-usul sebenar kundur tidak dapat dipastikan kerana ia juga merupakan tanaman terpenting dan utama di China, India, Filipina dan sebahagian dari Asia.

Di Malaysia, terdapat dua jenis buah kundur iaitu kundur Cina dan Kundur Jawa.

Beza di antara keduanya adalah berdasarkan keadaan kulit luar iaitu kundur Cina mempunyai kulit luar yang licin, manakala kundur Jawa mempunyai kulit yang berbulu.

Keistimewaan dan khasiat Kundur

Kundur atau 'dong gua' dari sudut perubatan tradisional masyarakat Cina berupaya menghilangkan dahaga dan mampu menyejukkan badan untuk pesakit yang menghidap demam.

Selain itu, di negara China, biji dan minyak biji kundur banyak digunakan sebagai ubat untuk membuang cacing.

Biji kundur digoreng dan dimakan oleh orang Cina disebabkan nilai perubatan yang baik dan bukannya sebagai makanan.

Lazimnya, mereka menggunakan kundur untuk mengurangkan rasa sakit dan mengelakkan kelaparan serta memanjangkan hayat.

Malah, biji kundur digunakan bagi merawat masalah kulit dan abu bijinya pula dibakar sebagai penawar untuk penyakit gonorea.

Di Filipina, sirap dari buah kundur segar dijadikan sebagai ubat bagi mengatasi masalah pernafasan dan paru-paru.

Di Korea, kundur banyak digunakan untuk mengatasi masalah diabetes atau kencing manis dan diuresis.

Di India pula, kundur telah digunakan sebagai agen terapeutik untuk rawatan kencing manis, penyakit dieresis, jangkitan kencing, dan masalah keradangan kronik.

Jus dan ekstrak buah kundur sesuai sebagai penawar antiulser, antidepressant dan diuretik, serta memberi perlindungan terhadap penyakit histamine-induced bronchospasm.

Masyarakat Melayu menggemari buah kundur bagi menghilangkan dahaga dan sebagai perangsang membuang air kecil.

Air buah kundur itu juga boleh digunakan sebagai pencuci mata yang merah dan bengkak. Daun dan buah kundur dapat digunakan untuk mengurangkan panas dengan cara memupuk di dahi orang yang demam panas atau yang mengalami sawan.

Manakala, orang Cina pula gemar menggunakan buah kundur untuk membuat acar manisan dan mengukus buah kundur bersama daging, udang, dan lain-lain.

Pucuk dan daun muda kundur boleh dimakan sebagai sayuran segar. Biji kundur dikeringkan dan diproses untuk dijadikan makanan ringan dipanggil kuaci.

Kulit, isi buah, jus dan biji kundur digunakan sebagai penawar demam panas dan dapat menyejukkan badan, buasir, lebam atau bengkak, sakit usus, sakit buah pinggang, baik untuk sistem penghadaman serta mereka yang menghidapi sakit kencing manis dan lemah limpa.

Abu biji kundur digunakan untuk merawat penyakit gonorea manakala abu kulit buahnya dapat mengubat luka. Pada masa dahulu, lapisan luar kulit buah kundur digunakan untuk membuat lilin.

Sifat tanaman

Pokok kundur mempunyai daun lebar berwarna hijau dan mampu mencapai ketinggian sehingga 15 hingga 20 sentimeter (sm).

Bunga kundur pula berwarna kuning dan mampu menarik serangga untuk aktiviti pendebungaan seperti lebah, rama-rama, lalat dan sebagainya.

Buah kundur mampu membesar dan mencapai berat sehingga 10-15 kilogram (kg) sebiji.

Terdapat satu lapisan putih atau lilin di bahagian luar kulit buah kundur dan sebagai menunjukkan bahawa buah tersebut telah mencapai tempoh matang dan boleh dituai.

Tanaman kundur tidak mempunyai masalah penyakit yang serius dan kurang di serang serangga.

Buah jenis labu ini mengandungi 97 peratus air, sedikit garam galian serta vitamin, kanji, alkaloid, asid resin, protein dan gula.

Buah kundur adalah labu yang tahan lama dan boleh disimpan selama setahun selepas dituai dengan kualiti tetap segar.

Kaedah penanaman

Pokok kundur mudah ditanam jika dibandingkan dengan jenis cucurbit lain, sama ada ditanam secara melata di atas tanah atau menjalar pada tiang sokongan.

Di rantau ini, pokok kundur ditanam dengan biji dan mengeluarkan hasil dalam empat hingga lima bulan.

Kaedah penanaman berbeza mengikut keadaan tanah dan iklim persekitaran di sesuatu kawasan. Berikut adalah kaedah penanaman yang biasanya digunapakai :

* Bahan tanaman - Biji.

* Jarak tanaman - 100 sm x 100 sm.

* Keperluan benih - 600 gram/ekar.

* Kaedah semaian - Dulang semaian atau tanam terus.

* Baja - Baja organik (50g/pokok) dan semburan foliar (daun) organik.

* Pengairan - Siram dua kali sehari. Elakkan dari banjir serta keadaan pokok dan tanah yang terlalu lembap kerana boleh memusnahkan pokok.

* Kesesuaian tanah - Sesuai di kebanyakan jenis tanah yang mempunyai pH kuran daripada lima. Jenis tanah berpasir, menerima cahaya matahari 100 peratus serta mempunyai saliran yang baik.

* Sungkupan - Menggunakan sungkupan seperti plastik silvershine atau jerami untuk mengekalkan kelembapan pada tanah.

* Kesesuaian iklim - Tropika.

* Mula memetik hasil - 14 minggu selepas ditanam.

* Hasil purata antara 20 dan 30 tan seekar.

Sumber Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment