RAJA Ali Raja Hassan bukanlah nama asing dalam industri ternakan burung puyuh di Kelantan.
Bapa kepada lima orang ini sudah lebih 20 tahun mengusahakan ternakan tersebut dan berhasrat menjadi penternak, pembekal daging puyuh terbesar di negeri Cik Siti Wang Kembang.
Berbeza dengan kebanyakan penternak lain yang mempunyai ladang dan pekerja, Raja Ali, 54, hanya mengusahakan ternakan burung puyuh di reban yang dibina di hadapan rumahnya di Kampung Badak Mati, Bukit Marak, Kota Bharu.
Bermula dengan modal sebanyak RM1,000, Raja Ali dengan dibantu isteri tercinta, Rahimah Awang, 54, kini mampu tersenyum puas.
Apa tidaknya, berkat penat lelahnya selama ini, dia dapat membesar dan memberikan pendidikan sempurna kepada kelima-lima anaknya itu yang kini sudah mempunyai kerjaya sendiri, selain mampu membeli rumah dan kereta.
Semuanya hasil daripada ternakan burung puyuh.
Mengimbas kembali penglibatannya dalam industri ternakan puyuh, Raja Ali berkata, ia bermula secara kecil-kecilan pada 1983 sekembalinya dari Kuala Lumpur untuk menjaga orang tuanya sebelum mereka kembali ke rahmatullah.
"Sebelum itu saya bekerja dengan Koperasi Shamelin selama 11 tahun. Sekembalinya saya ke kampung untuk menjaga orang tua, saya memulakan ternakan tersebut secara kecil-kecilan membabitkan 1,000 ekor puyuh dengan pinjaman bank sebanyak RM30,000.
"Pinjaman itu sebenarnya untuk ternakan arnab yang cuba saya usahakan, tetapi tidak berjaya," katanya ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini.
Menariknya, Raja Ali menjadikan kegagalan tersebut sebagai pembakar semangatnya untuk 'bertukar angin' dengan mencuba ternakan burung puyuh yang pada waktu itu agak asing dalam kalangan masyarakat tempatan.
Sebagai permulaan jelasnya, beliau telah mengikuti kursus ternakan burung puyuh di Tegayung, Melor.
"Sangkar arnab yang telah saya bina, saya ubah menjadi reban burung puyuh. Saya kemudiannya membeli sebanyak 1,000 ekor anak burung puyuh.
''Selain itu, saya turut mendapatkan baka burung puyuh dari Johor melalui Jabatan Perkhidmatan Haiwan (sekarang Jabatan Perkhidmatan Veterinar)," jelasnya.
Berkat kegigihan beliau dibantu isteri dan anak-anak yang berperanan sebagai 'pekerja', Raja Ali mampu membesarkan industri ternakan burung puyuhnya dengan waktu puncak beliau pernah menternak sehingga 17,000 ekor burung berkenaan.
Bagaimanapun, jumlah burung puyuh yang ada dalam rebannya ketika ini hanya sekitar 6,000 hingga 7,000 ekor, namun Raja Ali bersedia mendapatkan baka baru bagi 'menghidupkan' kembali kegemilangan industri yang sudah sebati dengannya itu.
Menurut Raja Ali, dia memperuntukkan sebanyak RM100 sehari bagi membeli makanan burung berkenaan dari sebuah kedai Cina di Bachok.
Jelasnya, sebaik sahaja menetas, burung sudah boleh dijual dengan harga pasaran ketika ini kira-kira 65 sen seekor.
Rata-rata burung puyuh milik Raja Ali akan disembelih sebaik sahaja mencapai usia 23 hari dan ke atas, sementara yang lebih muda dijual kepada pengusaha kedai burung.
"Kebiasaannya, hanya 80 peratus daripada telur puyuh akan menetas, selebihnya akan menjadi telur tembelang," jelasnya lagi yang menjalankan penetasan secara inkubator.
Mengusahakan ternakan burung puyuh bagi Raja Ali tidaklah terlalu rumit dan melecehkan.
Namun, setiap usaha itu pasti berdepan dengan suka dan duka. Begitu jugalah yang dilalui oleh Raja Ali sepanjang penglibatannya dalam industri berkenaan.
Antara ancaman yang dihadapi ialah pencuri yang pernah melarikan 300 ekor burung puyuh.
Selain itu, ular turut menjadi ancaman utama kepada Raja Ali yang pernah 'melahap' sebanyak 156 ekor burung puyuh mengakibatnya kerugian kira-kira RM1,000.
"Sekarang masih ada ular, begitu juga biawak. Untuk mengatasinya, saya menggunakan racun. Masalah penyakit tak ada, yang penting kita jaga kebersihan cuci reban dan najisnya diambil untuk dijadikan baja," jelasnya.
Cabaran dalam industri tersebut katanya, dari segi persaingan dalam pasaran apabila harga daging burung puyuh yang tidak stabil disebabkan sikap sesetengah pengusaha yang suka menurunkan harga demi mengaut keuntungan segera.
"Dari segi pasaran, tak ada masalah, banyak kedai makan, restoran dan pasar raya yang sedia menerima bekalan, tetapi apa yang saya bimbangkan tidak dapat menampung permintaan semakin tinggi," katanya.
Apa yang pasti kata Raja Ali, perkara tersebut sama sekali tidak mematahkan semangatnya, malah semakin yakin untuk mengembangkan lagi industri ternakan burung puyuhnya yang kini menjadi rujukan pelbagai pihak termasuk daripada pusat pengajian tinggi tempatan.
''Jangan mudah mengaku kalah, sentiasa berdoa dan bertawakal, insya-Allah usaha kita sentiasa berjaya," katanya mengenai 'petua' kejayaan beliau dalam industri berkenaan selama ini.
Sumber Utusan
No comments:
Post a Comment