Monday, 26 March 2012

Sarapan selera Pantai Timur

KEPELBAGAIAN hidangan tradisi sarapan pagi masyarakat Pantai Timur menggamit pengunjung ke Kelantan Delights, Subang Jaya.


SEBUT mengenai menu sarapan popular di Kelantan, pasti ramai membayangkan keenakan nasi kerabu, nasi dagang, nasi berlauk dan nasi tumpang yang kaya dengan aroma serta rempah ratus memikat selera.

Tidak ketinggalan laksam, sate dan aneka kuih seperti cek mek molek, pulut pagi serta ondeh-ondeh.

Jika itu yang diinginkan, apa kata berkunjung ke Kelantan Delights yang terletak di Wisma Consplant, SS16, Subang Jaya, Selangor.

Lokasi yang cukup strategik berhampiran dengan pusat beli-belah terkenal Subang Parade dan Empire Gallery itu memudahkan sesiapa sahaja mengunjunginya.

Menurut Pengerusi Eksekutif Kelantan Delights, Juhaidi Yean Abdullah, promosi yang bermula sejak Februari lalu itu diadakan pada setiap hari Sabtu dan Ahad dari pukul 8 hingga 11 pagi.

Katanya, melalui promosi berkenaan pelanggan berpeluang menikmati pelbagai sajian sarapan pagi yang popular negeri Cik Siti Wan Kembang itu pada kadar antara RM2 hingga RM7.

“Selain nasi kerabu, nasi berlauk dan nasi dagang, salah satu menu yang sukar dijumpa pada hari ini serta wajib dicuba ialah nasi tumpang.

“Penyediaannya agak rumit dengan kombinasi nasi himpit bersama telur, serunding dan ikan yang dibalut di dalam daun pisang,” jelasnya.

Juhaidi berkata, bagi mereka yang mahukan sesuatu selain hidangan nasi, boleh mencuba laksam.

Potongan laksam yang diperbuat daripada tepung beras dipadankan dengan kuah putih pekat daripada santan dan ikan selain disertakan telur, serunding bersama ulam-ulaman pasti merangsang selera.


HIDANGAN nasi kerabu yang enak dan menyelerakan.


Ujarnya, melalui promosi yang diadakan, restoran itu berpeluang memperkenal dan memartabatkan masakan tradisional Kelantan kepada orang ramai khususnya kepada warga kota.

”Mereka tidak perlu lagi berkunjung ke Kelantan untuk menikmati sajian pagi yang enak dan menyelerakan kerana segala-galanya terdapat di sini,” terangnya yang memberitahu restoran itu turut menyediakan hidangan makan tengah hari dan makan malam.

Mula beroperasi pada Julai tahun lalu, Juhaidi berkata, restoran yang mengetengahkan rekaan seni bina eksklusif dengan gabungan elemen tradisional dan kotemporari itu mampu memuatkan kira-kira 200 pelanggan pada satu-satu masa.

Setiap perincian dilakukan dengan teliti termasuk ukiran kayu pada dinding serta pelbagai kraf tangan yang disusun rapi di bahagian pintu masuk menyerlahkan aura Pantai Timur yang menjadi tema restoran itu.

Sementara itu, lukisan dinding yang memaparkan kesibukan Pasar Siti Khadijah di Kota Bharu turut menjadi santapan mata pengunjung ketika menjamu selera.-Kosmo

No comments:

Post a Comment