Wednesday, 21 March 2012

Bukan semua mati kerana AIDS

Assalamualaikum,
Nama saya Along. Saya terpanggil untuk menghantar surat ini kepada Mingguan Malaysia kerana tertarik dengan artikel Pancaroba bertajuk Kekuatan Mental Lawan Virus HIV pada 4 Mac lalu yang memaparkan kisah Danial yang HIV positif.

Biar saya memperkenalkan diri dahulu. Saya berusia 24 tahun dan disahkan positif HIV sejak setahun yang lalu selepas melakukan aktiviti berisiko.

Pada mulanya, saya merasakan masa depan saya sangat gelap kerana ketika itu usia saya masih muda dan baru sahaja dua minggu memulakan kerja di sebuah universiti swasta di Selangor.

Tidak ada apa yang boleh saya lakukan pada masa itu selain menangis dan menyesali perbuatan yang telah saya lakukan sebelum ini.

Kadang-kala wujud perasaan ingin membunuh diri kerana tidak mahu dan tidak sanggup menghadapi pandangan negatif orang ramai sekiranya mengetahui status saya tambahan saya anak kepada seorang ustazah.

Apa yang telah saya lakukan selepas disahkan positif HIV adalah memberitahu ibu, adik perempuan, ahli keluarga, majikan dan kawan-kawan yang rapat berkaitan status saya.

Alhamdulillah, ahli keluarga, majikan dan kawan rapat dapat menerima diri saya dan banyak memberi sokongan moral supaya tabah menghadapi ujian ini.

Saya kini turut menjadi sukarelawan kumpulan sokongan di Blog Aku HIV Positif (AHP) iaitu http://akuhivpositif.blogspot.com/ menggunakan nama samaran Along.

Di dalam blog tersebut, komuniti AHP banyak membantu golongan yang senasib macam saya..

Rawatan itu penting

Ingin saya tegaskan di sini, bukan semua penghidap HIV bernasib baik seperti insan bernama Danial yang walaupun selepas hampir 10 tahun menghidap HIV, masih sihat dan tidak perlu mendapatkan rawatan ubat-ubatan dari mana-mana klinik atau hospital mahupun rawatan tradisional.

Saya risau, sekiranya ada kalangan individu HIV yang membaca artikel tersebut terutama yang baru disahkan positif akan mempertikaikan pada doktor kenapa mereka perlu makan ubat sekiranya bacaan antibodi dalam badan (CD4) mereka rendah.

Ini akan mewujudkan sikap negatif dalam kalangan penghidap HIV sehingga enggan mendapatkan rawatan susulan seperti pengambilan ubat HAART (Highly Active Anti-Retroviral Therapy).

Tujuan utama ubat HAART diwujudkan adalah untuk membantu pesakit HIV hidup lebih lama dan mengelakkan berlakunya gejala HIV AIDS.

Ujian darah secara berkala untuk mengetahui tahap CD4 dan viral load amat penting jika mereka memilih untuk tidak menjalani rawatan di hospital dan berkemampuan membeli makanan tambahan yang mahal.

Memang bacaan CD4 yang tinggi (walaupun kekal positif HIV) dan viral load yang rendah tidak perlu mengambil HAART.

Melalui teknologi dan penyelidikan terkini, banyak penemuan terbaru berbanding 10 hingga 20 tahun lalu dan tidak mustahil satu hari nanti penawar HIV akan ditemui. Insya-Allah.

Betulkan stigma

Selain itu, saya lihat banyak drama Melayu yang memaparkan seolah-olah semua penghidap HIV akan mati disebabkan AIDS dan berkudis.

Bukan semua penghidap HIV meninggal dunia disebabkan AIDS. Kebanyakannya kerana penyakit lain seperti barah otak dan jangkitan kuman, sebab itulah pentingnya rawatan dan pengambilan secara konsisten ubat HAART.

Selagi pihak media tidak memperbetulkan stigma tersebut, selagi itulah masyarakat akan mendiskriminasi dan memandang serong golongan positif HIV terutama masyarakat yang kurang membaca.

Contohi media luar negara yang banyak membantu golongan ini bagi membetulkan semula tanggapan masyarakat supaya tidak memandang hina golongan seperti kami.

Contohnya di Jepun, ada sebuah drama yang memaparkan perjalanan hidup seorang penghidap HIV dari mula-mula dia disahkan positif sehingga mampu hidup normal seperti individu lain selepas mendapatkan rawatan susulan di hospital.

Bagi saya, media massa sangat memainkan peranan penting dalam membantu golongan positif HIV.

Saya berharap, apa yang saya tulis ini dapat memberi serba sedikit pandangan dan membetulkan semula tanggapan serong masyarakat kepada insan seperti kami.

Sekian, terima kasih. Salam 1 Malaysia.

Yang Benar,

Along

insansepertiaku@yahoo.com

Sukarelawan Kumpulan Sokongan Aku HIV Positif (http://akuhivpositif.blogspot.com/)

No comments:

Post a Comment