CUBA anda pejamkan mata dan bayangkan zaman kanak-kanak dan remaja anda. Kenangan itu pastinya membuatkan anda tersenyum sendiri.
Mungkin zaman kanak-kanak kita dahulu saat yang menggembirakan. Berbeza dengan sepuluh tahun kebelakangan ini, usia kanak-kanak bukanlah bererti kebebasan atau anda benar-benar rasa selamat.
Kematian Nurul Nadirah Abdullah, 5, baru-baru ini menjadi peristiwa yang amat menyedihkan seluruh rakyat Malaysia.
Adakah peristiwa ini sebahagian masalah sosial atau bersangkut paut dengan masalah mental masyarakat?
Menurut Pakar Sosial Universiti Putra Malaysia (UPM) yang juga Pengarah Pusat Inovasi dan Pembangunan Pelajar UPM, Dr. Mohammad Shatar Sabran, peristiwa ini perlu diambil pengajaran oleh semua pihak agar lebih berhati-hati.
"Apa yang berlaku adalah sebahagian daripada masalah sosial dalam masyarakat," katanya.
Mengikut Teori Ketidaktentuan Sosial, masalah seumpama ini berlaku kerana beberapa faktor yang melibatkan empat peringkat.
Peringkat pertama jelasnya, kerana "sikap'tidak mengapa".
"Kita melihat anak kecil berjalan pergi ke kedai seorang diri, kita akan kata "tak apa kerana tiada apa yang akan berlaku dan kedai dekat saja".
"Di sini, masyarakat mencari alasan untuk membenarkan perkara itu berlaku tetapi apabila ia berlaku barulah masyarakat menyedari perkara itu sebenarnya menimbulkan masalah besar," ujarnya.
Jelas beliau lagi, peringkat kedua timbul apabila kaedah penyelesaian difikirkan.
Pada peringkat ini, masyarakat akan sibuk untuk memikirkan bagaimana dan apakah tindakan yang perlu diambil agar masalah tersebut tidak berulang lagi.
"Pelbagai jawatankuasa akan ditubuhkan untuk tujuan tersebut. Ramai orang berbincang mengenai kejadian atau kes tersebut," katanya.
Kemudian, pada peringkat ketiga, tindakan diambil untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Dr. Mohammad Shatar memberitahu, pada peringkat ini masyarakat atau pihak yang berwajib akan mengambil tindakan yang telah dipersetujui di peringkat ketiga.
"Mereka yang melanggar peraturan akan dihukum. Jadi, mereka takut untuk melanggar peraturan tersebut," jelasnya.
Tambah beliau, peringkat keempat iaitu ' mute - diam' adalah peringkat terakhir dalam semua masalah sosial.
"Peringkat ini dipanggil 'mute' kerana masyarakat akan berhenti membincangkan hal tersebut. Peraturan yang dibuat sebelum ini pun sudah tidak dilaksanakan sepenuhnya," katanya.
Justeru katanya, selepas peringkat keempat ini, kejadian yang sama akan berulang lagi kerana lazimnya masyarakat akan berpatah balik kepada peringkat pertama tadi.
Dengan itu, masalah sosial ini tidak akan berhenti daripada terus berlaku.
Mental suspek
"Manusia yang mempunyai akal waras tidak akan melakukan perkara tidak berperikemanusiaan ini.
"Dari aspek psikologi, suspek mungkin mempunyai masalah mental kerana dia tidak dapat berfikir secara rasional ketika melakukan aksi tersebut," ujarnya.
Beliau menjelaskan, perkara ini berlaku mungkin kerana perasaan marah yang amat sangat kepada mangsa atau keluarga mangsa sehingga hilang pertimbangan.
Selain itu, suspek mungkin gagal untuk melepaskan perasaan marah atau benci kepada keluarga, maka sesiapa yang disukai oleh keluarga tersebut akan dijadikan sasaran.
"Apabila sedar atas perbuatan mereka, suspek akan membunuh dengan apa cara sekalipun untuk melupuskan bahan bukti," katanya.
Nasihat
Justeru, beliau menasihatkan, setiap ibu bapa jangan amalkan budaya "anak saya pandai jaga diri".
"Pastikan anak ditemani rakan lain yang lebih matang atau dewasa jika mereka perlu keluar ke kedai atau bermain di padang permainan," ujarnya.
Dalam keadaan sekarang, kata beliau, tidak salah jika anak-anak diperingatkan supaya tidak menghampiri atau bercakap dengan orang yang tidak dikenali walaupun mereka ini meminta tolong.
Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
No comments:
Post a Comment