Wednesday 21 March 2012

Pemeriksaan kesihatan percuma sempena ekspo

PENGUNJUNG Ekspo Perkahwinan dan Fesyen Gerbang Cinta yang bakal berlangsung pada hujung minggu ini berpeluang mendapatkan pemeriksaan kesihatan secara percuma di klinik bergerak yang disediakan.

Bas klinik bergerak yang disediakan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dilengkapi dengan pelbagai peralatan pemeriksaan kesihatan selain kakitangan perubatan terlatih termasuk doktor dan jururawat.

Perkhidmatan yang bakal diberikan itu merupakan satu inisiatif untuk menyedarkan orang ramai, selain memudahkan orang ramai membuat pemeriksaan kesihatan.

Pegawai Pembangunan Keluarga LPPKN, Anisafina Maidin berkata, antara kemudahan yang disediakan termasuk pemeriksaan subsidi mamogram, ujian pap smear iaitu pengesanan awal barah pangkal rahim, pemeriksaan tekanan darah, ujian darah dan pemeriksaan tahap glukosa dan kolesterol.

"Kemudahan itu membuka peluang kepada semua anggota masyarakat mendapatkan perkhidmatan dan kesejahteraan berkualiti dalam kehidupan mereka," jelasnya.

Selain itu, LPPKN juga turut menyediakan seminar kekeluargaan di bawah topik Indahnya Perkahwinan serta seminar kesihatan Derita Dalam Diam di ekspo tersebut.

Seminar yang disediakan itu adalah terbuka kepada orang ramai untuk mengikutinya.

Pengunjung juga turut disediakan dengan aktiviti menarik di gerai LPPKN seperti kuiz, juga termasuk sesi kaunseling 'Terapi Cinta'.

Ekspo yang dianjurkan ini bersempena pertandingan Gerbang Cinta Mega Utusan Malaysia Musim Ke-3 bermula 23 hingga 25 Mac ini.

Ekspo besar-besaran itu bakal diadakan di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dari pukul 10 pagi hingga 10 malam.

Selain pameran dan jualan pelbagai produk berkaitan industri perkahwinan, pelbagai aktiviti sampingan turut sepanjang ekspo berkenaan.

Ini termasuk persembahan artis dan kebudayaan, pertunjukkan fesyen, ceramah, demonstrasi solekan dan sebagainya.

Turut berlangsung pertandingan gubahan sirih junjung, hantaran, solekan dan dandanan serta ukiran buah yang masing-masing menawarkan hadiah menarik.

Oleh NOOR HAMIZAH ABU BAKAR

No comments:

Post a Comment