Monday, 26 March 2012

Sarapan selera Pantai Timur

KEPELBAGAIAN hidangan tradisi sarapan pagi masyarakat Pantai Timur menggamit pengunjung ke Kelantan Delights, Subang Jaya.


SEBUT mengenai menu sarapan popular di Kelantan, pasti ramai membayangkan keenakan nasi kerabu, nasi dagang, nasi berlauk dan nasi tumpang yang kaya dengan aroma serta rempah ratus memikat selera.

Tidak ketinggalan laksam, sate dan aneka kuih seperti cek mek molek, pulut pagi serta ondeh-ondeh.

Jika itu yang diinginkan, apa kata berkunjung ke Kelantan Delights yang terletak di Wisma Consplant, SS16, Subang Jaya, Selangor.

Lokasi yang cukup strategik berhampiran dengan pusat beli-belah terkenal Subang Parade dan Empire Gallery itu memudahkan sesiapa sahaja mengunjunginya.

Menurut Pengerusi Eksekutif Kelantan Delights, Juhaidi Yean Abdullah, promosi yang bermula sejak Februari lalu itu diadakan pada setiap hari Sabtu dan Ahad dari pukul 8 hingga 11 pagi.

Katanya, melalui promosi berkenaan pelanggan berpeluang menikmati pelbagai sajian sarapan pagi yang popular negeri Cik Siti Wan Kembang itu pada kadar antara RM2 hingga RM7.

“Selain nasi kerabu, nasi berlauk dan nasi dagang, salah satu menu yang sukar dijumpa pada hari ini serta wajib dicuba ialah nasi tumpang.

“Penyediaannya agak rumit dengan kombinasi nasi himpit bersama telur, serunding dan ikan yang dibalut di dalam daun pisang,” jelasnya.

Juhaidi berkata, bagi mereka yang mahukan sesuatu selain hidangan nasi, boleh mencuba laksam.

Potongan laksam yang diperbuat daripada tepung beras dipadankan dengan kuah putih pekat daripada santan dan ikan selain disertakan telur, serunding bersama ulam-ulaman pasti merangsang selera.


HIDANGAN nasi kerabu yang enak dan menyelerakan.


Ujarnya, melalui promosi yang diadakan, restoran itu berpeluang memperkenal dan memartabatkan masakan tradisional Kelantan kepada orang ramai khususnya kepada warga kota.

”Mereka tidak perlu lagi berkunjung ke Kelantan untuk menikmati sajian pagi yang enak dan menyelerakan kerana segala-galanya terdapat di sini,” terangnya yang memberitahu restoran itu turut menyediakan hidangan makan tengah hari dan makan malam.

Mula beroperasi pada Julai tahun lalu, Juhaidi berkata, restoran yang mengetengahkan rekaan seni bina eksklusif dengan gabungan elemen tradisional dan kotemporari itu mampu memuatkan kira-kira 200 pelanggan pada satu-satu masa.

Setiap perincian dilakukan dengan teliti termasuk ukiran kayu pada dinding serta pelbagai kraf tangan yang disusun rapi di bahagian pintu masuk menyerlahkan aura Pantai Timur yang menjadi tema restoran itu.

Sementara itu, lukisan dinding yang memaparkan kesibukan Pasar Siti Khadijah di Kota Bharu turut menjadi santapan mata pengunjung ketika menjamu selera.-Kosmo

Masalah gangguan tidur

TIDUR adalah anugerah tidak ternilai daripada tuhan yang mencipta siang dan malam. Ia dikawal semulajadi oleh bahagian otak dinamakan suprachiasmatic nuclei (SCN) melalui proses kitaran tidur-jaga (circadian rhythm).

Ia berfungsi menerusi rangsangan cahaya matahari yang masuk melalui anak mata. Kitaran ini menyebabkan kadar siap siaga mental kita berfungsi secara optimum sepanjang tempoh 24 jam.

Kebiasaannya kita merasa begitu segar pada pukul 9 hingga 11 pagi dan 9 hingga 11 malam serta susah untuk tidur pada waktu tersebut.

Tetapi pada pukul 3 hingga 5 pagi dan 3 hingga 5 petang pula, kita dapati mata kita berasa amat mengantuk.

Inilah sebabnya kenapa kadar kemalangan berlaku lebih kerap pada waktu lewat malam dan awal pagi.

Individu yang mengalami gangguan tidur (insomnia) biasanya tidak boleh tidur dengan lena walaupun telah diberi waktu cukup .

Ada juga yang langsung tidak boleh tidur sehingga menyebabkan keletihan melampau, sakit kepala, perasaan mudah marah dan menjejaskan kemampuan kognitif untuk menjalankan tugas harian keesokan harinya.

Gangguan tidur kerap berlaku dalam kalangan 30 hingga 50 peratus populasi manusia dengan sebab paling utama adalah stres.

Punca stres boleh disebabkan oleh pelbagai faktor seperti bebanan kerja yang berat, putus cinta, masalah kewangan dan keluarga atau menghadapi peperiksaan.

Kerisauan berlebihan pula boleh menyebabkan individu tetap mengantuk walaupun tidur lena pada malam sebelumnya.

Gangguan tidur berlaku dalam tiga peringkat:1. Masalah memulakan tidur

2. Masalah kerap kali terjaga pada waktu malam

3. Masalah waktu tidur terlalu pendek apabila mereka bangun terlalu awal daripada biasa dan tidak dapat menyambung tidur semula.

Masalah gangguan tidur disebabkan oleh stres akan hilang jika puncanya boleh diselesaikan.

Sekiranya stres tidak dapat ditangani dengan baik, ia akan menyebabkan kemurungan seperti gangguan peringkat ketiga.

Waspada turun naik darah

Tekanan darah merujuk kepada tekanan yang dikenakan oleh darah pada arteri atau pembuluh darah ketika ia dipam oleh jantung ke seluruh anggota badan.

Ujian tekanan darah dilakukan dengan mengambil dua ukuran dengan bacaan bagi tekanan darah normal adalah 120/80 mmHg.

Nombor 120 menunjukkan tekanan ke atas arteri akibat denyutan jantung atau sistolik.

Nombor 80 pula menunjukkan tekanan semasa jantung berehat di antara pengepaman dipanggil diastolik.

Masa paling baik untuk mengukur tekanan darah adalah semasa berehat dan dalam keadaan duduk atau baring.

Sekiranya tekanan darah didapati sentiasa tinggi daripada kadar biasa secara berlarutan, seseorang itu dikatakan mengalami masalah darah tinggi.

Pesakit darah tinggi sekurang-kurangnya mempunyai tiga bacaan tekanan darah yang melebihi 140/90 mmHg semasa berehat.

Pakar Perubatan Respiratori Hospital Pantai Ampang, Dr. Nor Adina Ahmad Tajudin berkata, mengukur tekanan darah amat penting bagi menunjukkan tahap kesihatan seseorang.

"Biasanya tekanan darah rendah adalah pada 90/50 ke bawah tetapi sebenarnya tekanan darah yang rendah menunjukkan sistem kardiovaskular mereka di peringkat yang amat baik," katanya.

Bagaimanapun masalah timbul apabila tekanan darah turun secara mendadak yang biasanya disebabkan oleh penyakit berkaitan dengan tiroid, pendarahan, kurang darah, kandungan gula yang rendah atau jangkitan kuman.

Jika tekanan darah turun daripada 120/80 kepada 90/60 secara mendadak atau dikatakan sebagai acute change menunjukkan sesuatu yang tidak normal.

"Penurunan tekanan darah secara mendadak amat berbahaya kerana akan menyebabkan kekurangan oksigen di tempat penting seperti jantung dan otak.

"Ini boleh menyebabkan pesakit pitam atau lebih teruk pengsan," katanya.

Biasanya golongan tua sering mengalami tekanan darah rendah disebabkan oleh kerosakan sistem saraf autoimun atau Autoimmune Nervous System.

Mereka yang duduk atau tunduk terlalu lama dan bangun secara tiba-tiba akan rasa pitam kerana tarikan graviti menarik darah ke bahagian bawah badan.

Ini akan mengecutkan salur darah menyebabkan darah tidak sampai ke otak.

"Biasanya 10 hingga 20 peratus warga emas mengalami masalah berkenaan," katanya.

Selain itu kerosakan saraf boleh berlaku disebabkan oleh diabetes atau kekurangan darah.

Bagaimanapun jika tekanan darah memang sedia rendah, ini menunjukkan kesihatan kardiovaskular yang baik.

Berbeza dengan tekanan darah tinggi, yang menunjukkan tahap kesihatan penghidap kronik.

Sememangnya tekanan diperlukan untuk mengalirkan darah ke seluruh badan terutama organ-organ penting.

Bila tekanan darah terlalu tinggi, ia menyebabkan pelbagai kerosakan kepada tubuh badan terutama jantung.

Apa yang penting, pakar perubatan perlu melihat punca, komplikasi dan risiko tekanan darah tinggi.

Dr. Nor Adina berkata, 95 peratus tekanan darah tinggi tidak dapat dikenal pasti puncanya manakala lima peratus lagi disebabkan masalah hormon seperti hipertiroid, hiperadrenalin, penyakit jantung, buah pinggang atau kolesterol selain genetik.

"Biasanya mereka yang menderita tekanan darah tinggi mempunyai risiko penyakit kardiovaskular seperti sakit jantung dan diabetes.

"Pesakit bakal menghadapi komplikasi seperti strok, serangan jantung, kegagalan jantung, kerosakan buah pinggang dan kerosakan mata," katanya.

Lebih malang lagi, pesakit yang diserang strok seperti mati sebelah badan atau tidak boleh bercakap, tidak boleh kembali sembuh seperti sedia kala dan rawatan lebih kepada sokongan.

Dr. Nor Adina berkata, penyembuhan strok banyak bergantung kepada kekuatan dan semangat individu.

Justeru bagi mengelakkan komplikasi, pesakit yang menderita tekanan darah tinggi perlu mengambil ubat untuk mengawal penyakit sebelum bertambah kronik selain mengubah diet dan gaya hidup kepada lebih sihat.

"Pesakit perlu mengambil diet tinggi serat, rendah lemak, kurangkan garam, tidak merokok, tidak mengambil alkohol serta melakukan senaman sekurang-kurangnya 30 minit sehari.

"Selain itu mereka perlu mengambil beberapa ubat," katanya.

Pembunuh senyapTidak keterlaluan menggelarkan tekanan darah tinggi sebagai pembunuh senyap kerana ia tidak menunjukkan sebarang simptom ketara dalam masa lima hingga 10 tahun.

Masalah kolesterol yang amat berkaitan dengan tekanan darah tinggi biasanya berlaku kepada mereka yang berusia 40 tahun ke atas disebabkan salur darah yang menyempit.

Justeru pesakit perlu mengambil ubat kolesterol yang dibekalkan doktor agar dapat mengurangkan lemak di dalam darah.

Pemeriksaan berkala setiap dua hingga tiga bulan juga amat penting bagi mengesan sekali gus mengawal penyakit darah tinggi.

Dr. Nor Adina menyarankan setiap rumah mempunyai sebuah alat memeriksa tekanan darah.

"Ini memudahkan mereka memantau tekanan darah sendiri kerana tekanan yang meningkat secara tiba-tiba boleh menyebabkan mangsa jatuh, pernafasan dan peredaran darah terhenti," katanya.

Pesakit juga terdedah kepada pendarahan atau darah beku di otak menyebabkan oksigen tidak sampai ke otak dan jantung berhenti dengan tiba-tiba.

Penyakit kardiovaskular termasuk tekanan darah tinggi, kolesterol, obesiti dan diabetes banyak menyerang lelaki pada usia 55 tahun dan wanita 65 tahun.

Bagaimanapun, jelas Dr. Nor Adina, tekanan darah tinggi yang berlaku pada usia bawah 40 tahun mungkin disebabkan tekanan kerja, makanan tidak seimbang atau gaya hidup yang tidak sihat.

Kini ramai kanak-kanak menghidap tekanan darah tinggi mungkin kerana gaya hidup moden yang sedentari.

"Masyarakat pula tidak peka atau kurang kesedaran mengenai tekanan darah tinggi kerana mereka tidak nampak risiko yang bakal dihadapi pada masa akan datang," katanya.Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN

Cegah obesiti kanak-kanak

APABILA ke pusat beli-belah dan kedai-kedai makan di serata tempat di negara ini, biasa anda saksikan ramai kanak-kanak dan anak muda yang berlebihan berat badan.

Jika tidak menjaga diet, jumlah mereka yang berlebihan berat badan dan obes akan terus meningkat bahkan menjadi epidemik.

Jadi, para ibu bapa dan penjaga, adakah anak-anak anda menghampiri tahap ini atau mereka sudahpun mencapai tahap tersebut?

Pastikan mereka sihatAmalan gaya hidup sihat haruslah bermula daripada kecil.

Ahli Majlis Persatuan Kajian Obesiti Malaysia (MASO), Dr. Zawiah Hashim menegaskan penting bagi kanak-kanak mengambil kalori dan nutrien yang mencukupi untuk pertumbuhan dan perkembangan yang normal.

Namun, ini mesti diawasi dengan berhati-hati supaya kanak-kanak tidak mengambil terlalu banyak kalori.

Rumah adalah tempat terbaik untuk mencipta persekitaran yang lebih sihat untuk kanak-kanak.

"Ibu bapa tidak harus memandang rendah risiko kesihatan yang berkaitan dengan berlebihan berat badan. Kunci untuk anak-anak kekal pada berat badan yang sihat adalah dengan mengambil pendekatan "seluruh keluarga". Ahli keluarga biasanya mengamalkan cara makan yang sama, mengekalkan tahap aktiviti fizikal yang sama dan mempunyai sikap yang sama terhadap berlebihan berat badan. Oleh itu, ibu bapa mesti mengamalkan apa yang mereka ajar dan menjadikan tabiat makan secara sihat serta aktiviti fizikal sebagai satu urusan keluarga," jelas beliau.

Dr. Zawiah menyarankan supaya anak-anak dilibatkan dalam perancangan dan penyediaan hidangan sihat dengan membawa mereka membeli barangan runcit agar dapat belajar cara untuk membuat pilihan makanan yang sihat.

Ini juga memberi peluang kepada kanak-kanak mengenal pasti dan memilih makanan yang lebih berkhasiat di kantin sekolah.

"Apabila anda makan di luar bersama anak-anak, kerap kali mereka mahu memilih makanan yang mereka inginkan dan selalunya lebih menggemari makanan segera. Apa yang anda perlu lakukan sebagai ibu bapa adalah bertegas dan tidak tunduk dengan keinginan mereka. Ini untuk memastikan mereka mengamalkan tabiat makan secara sihat," tambah Dr. Zawiah.

Di samping itu, ibu bapa harus menetapkan garis panduan mengenai jumlah masa yang dihabiskan oleh anak anda dengan aktiviti sedentari seperti menonton televisyen atau menghadap komputer. Had masa anak anda di depan skrin tidak boleh melebihi dua jam sehari kerana kanak-kanak yang menghabiskan masa berjam-jam menonton televisyen lebih cenderung menjadi gemuk.

Anda juga disaran melakukan aktiviti bersama keluarga termasuk bersenam, berbasikal, berjalan kaki atau setidak-tidaknya membersihkan halaman rumah atau mencuci kereta agar anak anda kekal aktif selalu.

"Jadilah teladan yang terbaik untuk anak-anak anda dan bantulah mereka memupuk tabiat makan secara sihat di samping mengamalkan gaya hidup yang aktif," nasihat Dr. Zawiah.-Utusan