Showing posts with label Dewasa. Show all posts
Showing posts with label Dewasa. Show all posts

Thursday, 19 January 2012

Hampir Lemas


Pengenalan

Hampir lemas adalah keadaan yang berlaku apabila oksigen terhalang/sekat daripada memasuki saluran pernafasan akibat tenggelam dalam air, tetapi tidak sampai menyebabkan kematian
Walau bagaimanapun, kekurangan oksigen dalam darah boleh mengakibatkan kerosakan tisu dan mati otak, dan fenomena ini digelar lemas.

Apakah gejala-gejala hampir lemas?

Gejala-gejalanya bergantung kepada tahap keterukannya, antara lain termasuklah:

  • Batuk
  • Tercungap-cungap
  • Muntah
  • Nafas berbunyi
  • Kulit kebiruan
  • Tidak sedarkan diri.

Apakah kesan-kesan akibat hampir lemas?

Situasi Hampir Lemas boleh mengakibatkan keadaan seperti:

  • Jangkitan paru-paru
  • Kerosakan kekal tisu otak.

Bagaimana saya boleh membantu mangsa hampir lemas?

  • Nilai tahap kesedaran mangsa.
  • Minta bantuan
  • Periksa saluran pernafasan, keadaan pernafasan dan nadi mangsa
  • Keluarkan bendasing dalam mulut mangsa (sekiranya ada)
  • Lakukan Resusitasi Kardiopulmonari (CPR) sekiranya mangsa didapati tidak bernafas
  • Segera dapatkan bantuan perubatan.

Bagaimana saya boleh mencegah lemas dan hampir lemas?

Antara langkah-langkah yang boleh diambil untuk mencegah tragedi lemas dan hampir lemas adalah:

  • Belajar berenang
  • Elakkan berenang tanpa teman
  • Pakai jaket keselamatan apabila menaiki bot.

Semakan Akhir : 28 April 2008

Chikungunya


Pengenalan

Deman Chikungunya adalah penyakit viral yang menjangkiti manusia melalui gigitan nyamuk yang telah dijangkiti.

Tanda dan Gejala

Masa inkubasi/peram demam chikungunya biasanya 3-7 hari. Gejalanya adalah amat serupa dengan demam denggi, tetapi demam chikungunya jarang diikuti oleh pendarahan atau sindrom shock (shock syndrome).

Orang yang dijangkiti mungkin mengalami gejala berikut:

  • Demam
  • Kesejukan
  • Sakit kepala
  • Letih
  • Loya
  • Muntah
  • Sakit otot
  • Ruam
  • Sakit sendi.

Rawatan

Masa kini tiada ubat atau vaksin untuk rawatan demam chikungunya. Walau bagaimanapun dengan banyak berehat, memakan makanan berzat, banyak minum air dan mengambil ubat penahan sakit, boleh mengurangkan gejala demam dan sakit badan. Jika anda mempunyai gejala tersebut di atas, anda dinasihatkan berjumpa doktor dengan segera.

Pencegahan

Tip-tip semasa mengembara/bersiar

  • Guna sapuan pencegah serangga pada kulit yang terdedah semasa keluar bersiar, terutama semasa di siang hari.
  • Pakai baju berlengan panjang dan seluar panjang semasa keluar bersiar.
  • Jika boleh tinggal dalam tempat yang mempunyai skrin pelindung pada tingkap atau penghawa dingin untuk menjauhi nyamuk

Walau bagaimanapun jika anda masih mengalami demam, berjumpalah doktor segera dan lakukan ujian darah. Jika ujian darah anda didapati positif dengan virus ini, tinggal di dalam rumah untuk mengurangkan gigitan nyamuk dan ini dapat mengelak bertambahnya rebakan jangkitan. Di rumah cara pencegahan demam chikungunya ini adalah sama dengan demam denggi. Pembersihan air takungan dalam pasu bunga, bekas bunga, saluran bumbung dan tin minuman dapat mengelak pembiakkan pembawa nyamuk Aedes.

Semakan Akhir : 22 April 2008

Penyakit Antraks

Antraks

Antraks adalah sejenis penyakit yang disebabkan kuman / bakteria yang membentuk spora, bernama bacillus anthracis. Kebanyakannya menjangkiti haiwan tetapi boleh menyebabkan demam yang serius kepada manusia sekiranya terdedah kepada spora ini. Ia menyerang kulit, usus atau paru-paru. Antraks kini dijadikan senjata biologikal moden. Manusia terutamanya petani dan individu yang bekerja di rumah sembelihan mungkin mendapat Antraks Kutaneus daripada haiwan yang dijangkiti melalui dedahan kulit.

Manusia juga boleh mendapat antraks melalui sedutan alat-alat yang dijangkiti. Jangkitan antraks selalunya didiagnoskan melalui pengesahan kuman dari lepuhan kulit, darah atau cecair badan yang lain.

Tanda dan Gejala

Antraks terjadi melalui 3 cara:

  1. Antraks Kutaneus adalah jenis yang paling biasa berlaku dan terjadi 1 - 2 hari selepas kulit tercalar dan terdedah kepada tanah, bahagian haiwan atau najis yang mengandungi spora. Kulit yang dijangkiti membentuk benjolan air kehitam-hitaman yang kemudiannya menjadi lepuhan dan ulser. Bakteria masuk ke dalam aliran darah dan menyebabkan keracunan darah
  2. Antraks Usus terjadi 2 - 5 hari selepas makan daging yang tercemar spora. Terjadi luka dan pendarahan pada dinding usus. Pesakit merasa loya, hilang selera makan, muntah, demam dan sakit perut, muntah berdarah dan cirit-birit. Keracunan dan kehilangan darah menyebabkan terjadinya renjatan (shock).
  3. Antraks Inhalasi kurang berlaku tetapi antara penyakit antraks yang paling serius; di mana spora disedut ke dalam paru-paru. Gejala seperti selesema terjadi 2 - 3 hari dengan tanda-tanda demam, batuk dan sesak nafas sebelum paru-paru berdarah, sama seperti seseorang yang lemas dalam darah sendiri. Kematian boleh berlaku dengan cepat di peringkat ini. Jenis ini adalah yang paling ditakuti kerana boleh dijadikan senjata biologikal oleh pengganas.

Rawatan

Sekiranya anda percaya bahawa anda berisiko kepada pendedahan antraks:

  • Sebagai contoh anda bekerja dalam persekitaran mengandungi antraks, segera maklumkan kepada pihak berkuasa dan jalani ujian serta dapatkan pemeriksaan doktor untuk penilaian dan penjagaan lanjutan. Jika terdapat tanda-tanda dan gejala selepas terdedah kepada haiwan atau produk haiwan di mana-mana bahagian dunia yang terdapat antraks, segera berjumpa doktor. Sebaik-baiknya dapatkan diagnosis dan rawatan awal.
  • Rawatan bagi ketiga-tiga jenis antraks di atas adalah bergantung kepada penggunaan antibiotik melalui mulut atau secara intravena (IV). Rawatan kebanyakannya berkesan jika mendapatkannya secepat yang mungkin.
  • Sesetengah jenis antraks menunjukkan respons kepada satu jenis antibiotik. Ciprofloxacin (Cipro), doxyxycline dan penisilin adalah rawatan antraks yang diterima pakai oleh FDA untuk kanak-kanak dan dewasa. Walau bagaimanapun hanya doktor yang boleh menentukan pengambilan antiobiotik atau kombinasi antiobiotik.
  • Rawatan yang digunakan boleh membunuh bakteria antraks. Namun, antiobiotik mungkin tidak berkesan bagi Antraks Inhalasi apabila gejala bertambah teruk disebabkan kuman telah mengeluarkan toksin yang banyak. Para saintis berusaha menghasilkan anti-toksin yang dapat meneutralkan toksin yang dihasilkan oleh kuman antraks.
  • Sekiranya anda terdedah kepada antraks, doktor akan memberikan antibiotik selama 60 hari. Jika mendapat Antraks Inhalasi, anda akan dirujukkan ke hospital untuk mendapat rawatan dengan antibiotik intravena (IV).
  • Penyakit Antraks tidak merebak dari seorang ke seorang yang lain. Jadi pesakit antraks tidak perlu dikuarantin atau diasingkan. Jika anda ada kontak dengan pesakit antraks, anda tidak perlu bimbang, ini kerana anda hanya perlu dirawat sekiranya anda terdedah kepada sumber-sumber jangkitan antraks.

Pencegahan

Oleh demikian, walaupun antraks sejenis penyakit yang merbahaya, ianya boleh dicegah dan dirawat dengan tindakan berjaga-jaga dan berhati-hati, penggunaannya sebagai agen dana perang biologikal pada masa kini agak terhad, sekiranya terdapat tindakan pencegahan yang berkesan.

Apakah yang anda dan keluarga anda perlu lakukan untuk melindungi dari antraks? Pertama, jangan panik. Risiko pendedahan kepada antraks adalah rendah, walaupun terdedah kepada spora antraks yang dikirim melalui pos. Kedua, sediakan diri anda dengan maklumat untuk memahami sepenuhnya pencerobohan miroskopik ini.

Semakan Akhir : 22 April 2008

Apakah itu Andropos?

Apakah itu Andropos?

Andropos juga dikenali sebagai ADAM (Penurunan hormone androgen dikalangan lelaki berusia).
Ia adalah fenomena yang hampir sama dengan menopos kecuali:

  • Ia berlaku secara perlahan-lahan
  • Tiada tanda-tanda jelas seperti putus haid dalam menopos dan penurunan hormone testosterone (hormone estrogen dalam wanita)

Apakah itu hormone testosterone?

  • Testosteron di hasilkan oleh sel-sel Leydic di testis.
  • Ia menentukan bentuk organ jantina lelaki, pembentukan bulu badan dan corak kebotakan lelaki.
  • Testosteron adalah perlu untuk nafsu keinginan seksual, ketegangan zakar dan pancutan sperma.

Berapa kerapkah andropos berlaku?
Andropos agak kerap berlaku.
Kejadian dikalangan lelaki dianggarkan:

  • 2%-5% semasa berumur 40 - 49
  • 6% - 30% semasa berumur 50 - 59
  • 20% - 45% asemasa berumur 60 - 69
  • 34% - 70% asemasa berumur 70 - 79
  • 91% bila berumur 80 ke atas

Bagaimana saya tahu saya mengalami andropos?
Andropos menghasilkan berbagai-bagai perubahan pada tubuh lelaki termasuk:

  • Masalah ketegangan zakar
  • Nafsu sex rendah
  • Perubahan perasaan menjadi letih, cepat meradang, sedih dan pemarah
  • Masalah tidur
  • Bulu-bulu tubuh berkurang
  • Saiz dan kekuatan otot berkurang
  • Peningkatan lemak tubuh
  • Hilang daya ingatan
  • Osteoporosis (Tulang rapuh dan nipis)
  • Daya tumpuan yang lemah

Tidak semua lelaki mengalami tanda-tanda dan keterukan yang sama, dan setengahnya tidak mempunyai tanda-tanda langsung.

Apakah ujian-ujian yang boleh dilakukan jika saya ingin mengetahui status saya?

  • Ujian hormone tetosteron boleh dilakukan di Hospital.
  • Jika paras hormone kurang 200ng/dL lelaki dianggap mempunyai testosteron yang rendah.
  • Jika paras nya melebihi 600ng/Dl, tiada kekurangan hormone testosteron bolehlah dipastikan.

Apakah terapi gantian hormon?
Andropos boleh dirawat dengan hormone testosterone dalam bentuk:

  • Pil
  • Suntikan
  • Pellet jangkatindak panjang dan pengeluaran ubat secara perlahan
  • Tampalan
  • Jeli

Apabila dimulakan, ia perlu diambil seumur hidup.

Apakah penilaian yang perlu dijalankan sebelum memulakan terapi gantian hormon?
Penilaian perlu dilakukan sebelum memulakan terapi gantian hormon:

  • Pemeriksaan asas urology
  • Ujian darah menguji antigen spesifik untuk Prostate (PSA)
  • Ujian lemak
  • Ujian fungsi hati
  • Ujian analisa sel-sel darah/kepekatan darah

Testosteron meransang pembesaran kelenjar prostat dan menerukkan kanser prostat yang telah ada. Oleh itu ujian PSA perlu di lakukan sebelum memulakan terapi gantian hormon dan 6 bulan selepas itu.

Apakah kesan-kesan sampingan terapi gantian hormone?
Lelaki yang mempunyai kanser payudara dan kanser prostate tidak sesuai untuk terapi gantian hormon kerana testosterone akan menyebabkan kanser.kanser ini membesar dengan cepat.
Kesan-kesan sampingan lain:

  • Bengkak kaki, menerukkan tekanan darah tinggi
  • Masalah hati
  • Masalah kesuburan- pengeluaran sperma berkurangan
  • Masalah tidur seperti pernafasan yang berhenti untuk jangkamasa lama semasa tidur
  • Pembesaran payudara
  • Peningkatan kepekatan sel darah merah
  • Saiz prostat semakin membesar

Bagaimanakah keberkesanan terapi gentian hormone?

Terapi gantian hormone testosterone boleh memperbaiki tisu tulang, tisu otot, kekuatan dan ketegangan zakar pada waktu malam . Tetapi kesan keatas fungsi seksual dan perasaan masih tidak jelas dan mungkin berguna untuk sesetengah lelaki.

Apa yang akan dilakukan oleh doktor semasa rawatan susulan?
Anda perlu mengikuti rawatan susulan supaya doctor dapat memantau:

  • Dos tetosteron
  • Kesan sampingan
  • Ujian darah berkala

Di manakah khidmat bantuan boleh di dapati?
Sekiranya anda mempunyai tanda-tanda andropos, anda boleh berjumpa anggota kesihatan professional (Klinik Kesihatan, klinik LPPKN, klinik Persatuan Perancang Keluarga) untuk nasihat dan pemeriksaan.

Anda mungkin di rujuk ke klinik Urologi jika memerlukan terapi gentian hormone.

Bahan rujukan

Semakan Akhir : 28 April 2008

Amenorea - Dewasa

Amenorea (Tiada Haid)

Amenorea bermaksud tidak datang haid ( menstruasi)) Ia juga dikenali sebagai ovari tidak mengeluarkan telur ( anovulation) Dalam kebanyakan kes, ia berlaku di kalangan remaja perempuan sebelum dewasa atau semasa mengandung, ibu menyusukan bayi atau menopaus, ini adalah normal dan dipanggil Amenorea secara fisiologikal. Oligomenorea adalah keadaan merujuk kepada haid yang tidak tetap, biasanya 3 atau 6 bulan sekali dan berpanjangan.

Amenorea primer ialah kegagalan menstabilkan kedatangan haid. Ia dikategorikan sebagai tidak normal, jika remaja perempuan tiada perkembangan fizikal secara seksual pada usia 14 tahun, atau remaja yang normal perkembangan fizikal dan seksualnya tetapi tidak datang haidnya pada umur 16 tahun. Amenorea primer hanya berlaku kepada kira-kira 3 remaja dalam per 1000.

Amenorea sekunder didenifisikan sebagai tidak datang haid berturut-turut selama 6 bulan bagi wanita yang kedatangan haidnya tetap setiap bulan. Amenorea sekunder juga menandakan gangguan pada sakit atau akibat yang umum.

Amenorrhoae sekunder berlaku kepada 3% remaja perempuan. Lebih 50% berlaku kepada peserta pelari jarak jauh dan lebih 44% penari balet .

Tanda dan Gejala

Banyak penyebab kemungkinan berlaku. Termasuklah:

  • Senaman yang melampau biasanya di kalangan ahli sukan - atlet.
  • Kurang berat badan yang teruk - hasil pemakanan yang tidak sempurna (berat dalam KG dibahagi dengan ketinggian dalam M²) kurang daripada 19 (kadar normal adalah 20 hingga 25 kg/m².
  • Tekanan perasaan yang teruk dan gangguan pada emosi
  • Gangguan kepada ovari untuk mengeluarkan telur
  • Pengambilan pelbagai jenis ubatan
  • Kesan sampingan apabila berhenti mengambil pil perancang keluarga
  • Sindrom Polisistik ovari iaitu keadaan terdapatnya multilple cysts pada ovari, mandul, obesiti dan gangguan hormon.
  • Penyakit yang lama dihidapi, atau aktiviti kelenjar tiroid yang kurang atau lebih
  • Hormon yang mengawal ovulasi dan haid yang dikeluarkan oleh kelenjar hypothalamus pada paras luarbiasa (yang seterusnya mengawal kelenjar pituitary).

Sebab lain amenorea termasuk:

  • Tiada vagina atau rahim atau keduanya semasa lahir
  • selaput dara yang menutup vagina keseluruhannya

Terdapat kes yang jarang berlaku di mana jantina sebenar kanak-kanak masih tidak dapat ditentukan kerana organ genitalnya tidak terbentuk dengan baik semasa lahir.

Diagnosa

Ia bergantung kepada keadaan dan sebab berlaku. Bergantung kepada umur dan sejarah, selalunya ujian semasa hamil adalah langkah pertama yang perlu diambil sebelum meneruskan dengan penyiasatan yang lain.

Mengambil sejarah yang penuh, seperti sejarah keluarga , pekerjaan dan sejarah aktiviti, sejarah aktiviti seksual, gangguan emosi, perubahan berat badan dan sejarah perubatan lepas. Walau bagaimanapun, untuk menentukan hasil diagnosis pemeriksaan penuh sakit puan dan pelbagai ujian perlu dilakukan. Ujian ini termasuklah ujian darah untuk mengenal pasti paras pelbagai hormon. Ujian Fungsi tiroid mungkin diambil. Analisis koromosom perlu jika terdapat kesangsian jantina. Ultrasound, tomografi berkomputer (CT Scan) atau imbasan MRI akan menunjukkan sebarang keabnormalan alat kelamin.

Rawatan

Rawatan akan bergantung kepada penyebab berlakunya Amenorea.

  • Amenorea berkaitan dengan senaman akan bertindakbalas kepada pengubahsuaian program senaman itu sendiri dan dengan memberi perhatian kepada pengambilan diet dan penjagaan berat badan.
  • Amenorea yang berkaitan dengan berat badan perlu diuruskan untuk mendapatkan berat yang normal dan bantuan pskiatrik mungkin diperlukan bagi mengatasi masalah gangguan emosi..
  • Dalam kes di mana organ genital tidak terbentuk dengan sempurna , mungkin pembedahan di perlukan
  • Bagi kes sindrom Polisistik ovari tindakbalas boleh berlaku dengan penurunan berat badan dan sekarang insulin-sensitising agen seperti metformin digunakan. Kekurangan hormon tiriod boleh dirawat dengan menggunakan hormon (thyroxine). Selaput dara yang menutup vagina keseluruhannya memerlukan pembedahan.

Semakan Akhir : 22 April 2008